
Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar berkata, partinya tidak memerlukan nasihat dan pandangan daripada PKR untuk menentukan hubungan dan pendirian kerjasama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), terutamanya melibatkan Bersatu.
“Saya lihat kenyataan pimpinan PKR ini lebih bersifat cubaan mengalih perhatian daripada kemelut dalaman yang sedang mereka hadapi,” katanya kepada FMT.
“Apabila parti sendiri mula bergolak, maka isu luar cuba dimainkan untuk menutup kelemahan sendiri. Lebih baik PKR fokus selamatkan parti sendiri yang semakin berpecah.”
Sukri berkata, PKR yang gagal menguruskan ‘rumah tangga’ sendiri, bukannya PAS ataupun PN.
Sebaliknya, katanya, PAS tahu mengurus parti, menghormati kepimpinan dan menyelesaikan perkara secara matang.
“Hakikatnya, PKR sendiri sedang berdepan krisis dalaman yang sangat serius. Semakin ramai ahli dan akar umbi PKR mula hilang keyakinan sehingga ada yang memilih menyertai gerakan politik baharu,” katanya merujuk kewujudan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang kini diterajui bekas pemimpin kanan PKR Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan PKR Selangor agar pimpinan PAS negeri menyatakan pendirian mengenai kenyataan Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali, yang dikatakan memperlekeh Presiden PAS Hadi Awang.
Timbalan Ketua Penerangan PKR Selangor Khairil Izzat Nordin bertanya sama ada Pesuruhjaya PAS Selangor Halim Tamuri dan timbalannya, Shafie Ngah, bersetuju dengan kenyataan Azmin itu.
Membidas gesaan itu, Sukri berkata, PKR Selangor tidak perlu menjadi batu api dalam urusan dalaman PN, sedangkan rakyat melihat begitu banyak kegagalan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PH yang jauh lebih mendesak untuk diselesaikan.
“Daripada sibuk mahu mengajar PAS tentang adab dan pendirian politik, lebih baik PKR menumpukan perhatian kepada isu sebenar rakyat Selangor seperti banjir berulang, kos sara hidup, peluang pekerjaan, masalah infrastruktur serta pelaksanaan titah Sultan Selangor yang sehingga hari ini masih gagal ditangani dengan tegas oleh kerajaan negeri sendiri.
“PKR juga sepatutnya lebih berani menegur rakan sekutu mereka, iaitu DAP yang secara terbuka mempertikaikan pelbagai perkara berkaitan kepentingan Islam dan sensitiviti majoriti rakyat, termasuk isu penternakan babi di Selangor yang telah mendapat perhatian dan nasihat serius daripada Sultan,” katanya.