
Beliau menjelaskan kenyataan setiausaha agung Bersatu itu sebaliknya ditujukan kepada pihak tertentu yang didakwa gagal mendengar penjelasan pimpinan parti.
Selain itu menyebarkan tafsiran keputusan Majlis Tertinggi (MT) PN yang tidak tepat, dakwa Tun Faisal.
“Ada juga menuduh dan memfitnah Bersatu dengan dakwaan berat, termasuk menggunakan perkataan tidak sopan seperti ‘berambus’ dan tidak amanah dalam melaksanakan janji-janji yang telah dibuat.
“Namun, ia (‘buka mata, buka telinga, jangan pekak’) bukan merujuk kepada PAS,” katanya kepada FMT.
Terdahulu Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan PAS dan Bersatu bergerak secara berasingan di pentas pilihan raya, susulan pertikaian mengenai kekuatan jentera parti dalam PN.
Beliau berkata, tiada harapan untuk kerjasama harmoni jika kenyataan bahawa Bersatu tidak mempunyai jentera disifatkan sebagai pandangan yang tidak peka.
Fadhli merujuk penularan video ceramah Azmin di Melaka malam tadi yang meminta pihak-pihak tertentu agar ‘buka mata, buka telinga, jangan pekak’ terhadap keupayaan Bersatu.
Beliau turut mengaitkan kebimbangannya dengan tindakan Bersatu dalam isu Perlis dan Negeri Sembilan.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada Bersatu boleh membuat pertimbangan sendiri dalam pembentukan kerajaan persekutuan selepas PRU16.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 22 Mei mendakwa Bersatu hanya menuntut jumlah calon pada PRK dan PRN, tetapi tidak mempunyai jentera mencukupi untuk berkempen.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan PAS terpaksa mengerahkan jenteranya turun ke lapangan.