Ketua hakim negara dikurnia gelaran Tun sempena Keputeraan Agong

Ketua hakim negara dikurnia gelaran Tun sempena Keputeraan Agong

Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjadi penerima tunggal Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun.

Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Seri Setia Mahkota membawa gelaran Tun kepada Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda di Istana Negara hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului senarai 144 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 bersempena dengan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.

Wan Ahmad Farid, 63, yang dilantik sebagai ketua hakim negara ke-17 pada 28 Julai tahun lepas, menjadi penerima tunggal Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun.

Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 disempurnakan Sultan Ibrahim. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Jaguh sukan berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang dikurniakan Darjah Bakti (DB) iaitu pengiktirafan tertinggi negara terhadap kecemerlangan dan sumbangannya dalam sukan berbasikal serta memperkukuh reputasi Malaysia di persada dunia.

Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri dikurniakan kepada Panglima Angkatan Tentera Malek Razak Sulaiman, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail dan Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd Daing A Malek Daing A Rahaman.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Luar Negeri Amran Mohamed Zin dan Panglima Tentera Darat Azhan Md Othman, antara lima individu dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang juga membawa gelaran Tan Sri.

Turut dikurniakan PSM ialah Panglima Tentera Udara Muhamad Norazlan Aris dan Pemegang Amanah Urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor Avinderjit Singh Harjit Singh.

Sepuluh individu menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk iaitu Hakim Mahkamah Rayuan Leonard David Shim, KSU Kementerian Pendidikan Tinggi Aminuddin Hassim, KSU Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Hairil Yahri Yaacob, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Zulfikri Osman dan Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia Cheong Loon Lai.

Turut menerima PJN, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Hazami Jahari, tokoh aktivis masyarakat dan wanita Rugayah Abdul Majid, Pengerusi Mranti Corporation Sdn Bhd Rofina Yasmin Othman, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Amar Huzaimi Md Deris serta Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd Teo Chee Yow.

Tiga individu pula menerima Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) yang turut membawa gelaran Datuk iaitu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan Yubazlan Yusof, Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong Jaba Mohd Noah dan juruiring Tentera Udara Yang di-Pertuan Agong Amrul Yacob.

Dalam pada itu, Darjah Johan Mangku Negara (JMN) dikurniakan kepada 12 penerima antaranya Presiden Perbadanan Putrajaya Mohd Sakeri Abdul Kadir, Ketua Jabatan Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial Hospital Kuala Lumpur Dr Kok Tuck Choon, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Zulkifli Hashim dan Ketua Jabatan dan Perunding Pakar Pediatrik Jabatan Pediatrik Hospital Selayang Dr Tang Swee Ping.

Seramai 11 individu dikurniakan Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) termasuk Ketua Inspektor Biro Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan Tan Chee Kee, Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Shamsul Nizam Khalil serta pakar perunding radiologi Jabatan Radiologi Hospital Pakar Sultanah Fatimah Dr Laili Suriani Ab Latip.

Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan Kementerian Luar Shariffah Norhana Syed Mustaffa merupakan antara penerima Darjah Johan Setia Diraja (JSD), manakala bekas pemain badminton beregu campuran negara yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 Goh Liu Ying antara 10 penerima Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN).

Selain itu, juruiring tentera Sultan Johor dan juruiring Permaisuri Johor iaitu Sheikh Ali Ahmad dan Liyana Mohd Toff dikurniakan Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD).

Sejumlah 28 individu menerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN), manakala 42 individu dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN) dan 15 individu menerima Pingat Bentara Setia Diraja (BSD).

Secara keseluruhan seramai 161 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.