Individu tak mahu ikut prinsip Rukun Negara tidak layak digelar warganegara

Individu tak mahu ikut prinsip Rukun Negara tidak layak digelar warganegara

Rukun Negara diperkenal pada 31 Ogos 1970 adalah aku janji dan ikrar bagi membina semula perpaduan kaum serta menjamin keharmonian masyarakat.

Sultan Ibrahim bertitah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah individu yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia.

Seri Paduka Baginda bertitah, Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1970, merupakan aku janji dan ikrar setiap warga Malaysia bagi membina semula perpaduan kaum serta menjamin keharmonian masyarakat.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak, agar menghayati setiap prinsip Rukun Negara dan menjadikannya amalan dan garis panduan hidup sebagai rakyat Malaysia.

“Oleh yang demikian, jika ada mana-mana rakyat malaysia yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara tersebut, saya menasihati agar dia tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia,” titah Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda bertitah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta perwakilan asing.

Yang di-Pertuan Agong bertitah setiap rakyat harus bersatu hati, bertolak ansur dan saling hormat menghormati serta berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara.

Titah Seri Paduka Baginda perpaduan adalah asas kekuatan negara yang menjamin kemajuan ekonomi, keharmonian kaum dan kestabilan negara.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah semua pihak perlu mengambil iktibar daripada sejarah hitam negara, peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang tercetus apabila ada pihak yang bertindak keterlaluan, menghina orang lain, dan hilang rasa hormat kepada bangsa dan ketuanan negara ini.

“Peristiwa ini (13 Mei) telah meruntuhkan perpaduan rakyat danmenghancurkan kestabilan negara. Jangan sampai pisang berbuah dua kali,” titah Sultan Ibrahim.

Istiadat pengurniaan itu merupakan kali ketiga disempurnakan Sultan Ibrahim sejak Seri Paduka ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024.

Secara keseluruhan, sebanyak 161 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.