Onn Hafiz mohon maaf kepada Zahid lepas desak letak jawatan

Onn Hafiz mohon maaf kepada Zahid lepas desak letak jawatan

Menteri besar Johor berkata beliau menemui presiden Umno suarakan kekesalan terhadap kenyataan dibuat sejurus PRU15 berikutan nasihat Istana Johor.

Zahid hamid Onn Hafiz
Presiden Umno Zahid Hamidi dan Pengerusi Umno Johor, Onn Hafiz Ghazi hadir mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno di pejabat Umno Johor di Johor Bahru, pada 11 Mei. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mendedahkan memohon maaf kepada Presiden Umno Zahid Hamidi selepas mendesaknya letak jawatan susulan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

BN berdepan prestasi pilihan raya paling mengecewakan dalam sejarah selepas hanya menang 30 kerusi, yang mendorong Onn Hafiz secara terbuka menuntut Zahid selaku pengerusi BN perlu ‘berjiwa besar’ seperti Najib Razak yang berundur selepas kekalahan BN pada PRU14.

Onn Hafiz berkata, beliau memohon maaf kepada Zahid selepas menerima nasihat Sultan Johor Sultan Ibrahim dan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail susulan spekulasi beliau mungkin berdepan tindakan tatatertib seperti pemimpin Umno lain, yang turut menyeru peletakan jawatan Zahid.

Katanya, beliau dinasihatkan pihak Istana Johor bahawa sebagai seorang pemimpin muda, beliau mungkin telah ‘terlajak kata’ dalam kenyataannya itu, dan memohon maaf adalah tindakan wajar diambil.

“Ke bawah duli Tuanku titah: Pergi dan jumpa awak punya presiden…kita ada negeri mahu diuruskan,” katanya dalam audio siar ‘Keluar Sekejap’, dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

“Selepas menerima nasihat itu, saya pergi menemui Zahid dan memohon maaf sekiranya kenyataan saya mengguris perasaannya…dan Alhamdulillah, saya rasa beliau telah maafkan saya.

Terdahulu, dalam audio siar berkenaan, Shahril menarik perhatian bahawa Onn Hafiz merupakan pemimpin Umno pertama yang terbuka menuntut peletakan jawatan Zahid selepas PRU15.

Shahril berkata, beliau juga telah mengeluarkan kenyataan sama, namun akhirnya digantung keahlian Umno, manakala Onn Hafiz tidak berdepan sebarang tindakan tatatertib.

“Mungkin tetamu kita boleh jelaskan mengapa,” selorohnya.

Menjawab pertanyaan Shahril, ketua Umno Johor itu berkata: Saya rasa masa itu saya banyak berdoa!”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.