Marzuki nafi Bersatu takut bincang peralihan

Marzuki nafi Bersatu takut bincang peralihan

Bekas pegawai Muhyiddin Yassin berkata pelantikan Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden sudah menggambarkan adanya pelan peralihan.

marzuki
Marzuki Mohamad mendakwa wujud serangan terhadap Muhyiddin Yassin untuk meletak jawatan selepas pemilihan Bersatu, dua tahun lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas pegawai kanan Muhyiddin Yassin menolak dakwaan Bersatu berpecah kerana pemimpinnya takut membincangkan peralihan kuasa, sebaliknya mendakwa kem penyokong Hamzah Zainudin memilih jalan bercanggah dengan perlembagaan parti.

Marzuki Mohamad berkata keputusan Muhyiddin selaku presiden Bersatu menamakan Hamzah sebagai timbalan presiden sudah pun menunjukkan wujudnya pelan peralihan dalam parti itu.

“Bukan takut bincang peralihan,” katanya di Facebook mengulas kenyataan bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Zulkifli Bujang, yang mendakwa krisis parti itu berpunca daripada kegagalan membincangkan pelan peralihan kepimpinan secara terbuka.

Sebelum itu, Zulkifli mengulas dakwaan Marzuki bahawa Hamzah menggunakan PAS dan Umno sebagai modal untuk memecah-belahkan Bersatu, sekali gus ingin mengambil alih parti itu daripada Muhyiddin.

Dakwanya, tindakan itu didakwa bertujuan membolehkan Hamzah mendapatkan jawatan presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional (PN) tanpa perlu melalui pertandingan.

Marzuki juga mendakwa Muhyiddin memujuk Ahmad Faizal Azumu selaku penyandang timbalan presiden untuk memberi laluan kepada Hamzah pada pemilihan Bersatu, dua tahun lalu.

Muhyiddin dan Hamzah diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden serta timbalan manakala Faizal mengisi satu daripada tiga kerusi naib presiden selain Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin dan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee.

Dalam hantaran terbaharu itu, Marzuki mendakwa selepas pemilihan itu mula gerakan serangan terhadap Muhyiddin untuk mendesaknya berundur temasuk dengan mengumpul tandatangan.

“Kalau ikut cara yang betul mengikut perlembagaan lawan dalam pemilihan parti, adakan EGM untuk bahas usul pecat presiden dan dapatkan dua pertiga perwakilan yang layak hadir meluluskan usul.

“Bagi mengadakan EGM, dapatkan permintaan bertulis daripada 2/3 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi atau permintaan bertulis daripada 1/2 bahagian-bahagian parti dengan syarat bahagian-bahagian tersebut telah meluluskan usul sama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.