
Setiausaha Agung Mohamed Azmin Ali berkata parti itu turut menolak dakwaan kononnya wujud pertemuan atau perbincangan antara pimpinan Bersatu dan PKR bagi mewujudkan kerjasama dengan Pakatan Harapan.
Tegasnya, dakwaan tidak berasas ini dikutip dari kumpulan mahu menutup kegagalan pengkhianatan dalam gerakan Langkah Bangkok.
Langkah Bangkok dikaitkan dengan bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin yang didakwa mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno Zahid Hamidi untuk menjatuhkan kerajaan.
“Bersatu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Bersatu akan kembali bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.
“Bersatu juga menangkis fitnah wujud pertemuan dan perbincangan di antara pimpinan dengan PKR untuk maksud mewujudkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH),” kata Azmin dalam kenyataan.
Beliau turut mengingatkan rakyat menyemak kesahihan sebarang dakwaan politik yang tersebar.
“Jangan terpedaya dengan bisikan syaitan yang kejam dan jahat untuk menghalang kemaraan Bersatu.
“Berita golongan fasiq mesti diselidik dan ditentusahkan terlebih dahulu,” katanya.
Spekulasi mengenai hubungan Bersatu dan PH timbul susulan ketegangan antara Bersatu dan PAS dalam PN selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu mungkin bergerak solo pada PRU akan datang tanpa sekutunya.
Dalam pada itu, Azmin berkata, Bersatu kekal dengan pendirian mempertahankan muafakat politik dalam PN secara teguh dan berprinsip.
“Bersatu bertekad akan terus kekal mempertahankan muafakat politik dalam PN dengan teguh dan berprinsip,” katanya yang mendakwa spekulasi itu timbul ketika Bersatu semakin kuat.