
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata tonggak tebabit iaitu matlamat bersama, kemakmuran bersama dan tadbir urus berperikemanusiaan yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan berfungsi, bertanggungjawab dan responsif.

Katanya, kerajaan sedemikian perlu memberi tumpuan kepada kemajuan, kemakmuran dan kebahagiaan rakyat, bukan sahaja untuk masa kini tetapi juga masa depan.
“Ia berorientasi kepentingan rakyat Malaysia yang pelbagai bahasa, budaya dan agama yang berada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak; di bandar dan luar bandar; dari pelbagai golongan dan pekerjaan; yang majoriti dan minoriti; dan diaspora Malaysia yang berada di luar negara.
“Ia menggambarkan semangat dan perjuangan rakyat yang mempunyai sejarah panjang, berkesinambungan dan berjaringan selain mengambil kira peranan dan sumbangan semua pihak,” katanya.
Bekas menteri luar negeri itu berkata demikian dalam tulisan di ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian.
Menurut Saifuddin, Konsensus Nasional Baharu turut dipandu nilai dan prinsip yang lahir daripada agama, sejarah serta kebudayaan, dengan rujukan utama kepada al-Quran dan sunnah, Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta Perjanjian Malaysia 1963.
Katanya, nilai yang menjadi asas gagasan itu termasuk keadilan, kebebasan, kedaulatan undang-undang, integriti, antirasuah, perpaduan, meritokrasi, hak asasi manusia, pembangunan insan dan keamanan dunia.
“Hamzah menyimpulkan semua itu dalam satu frasa yang amat tepat dan padat, iaitu ‘amar makruf nahi mungkar’,” katanya.
Saifuddin berkata, antara asas fundamental gagasan itu ialah menjadikan perpaduan rakyat sebagai aset dan kekuatan negara, selain meletakkan kesederhanaan atau wasatiyyah sebagai pendekatan utama pembangunan.
Katanya, Malaysia juga perlu membangunkan demokrasi matang dan stabil, iaitu demokrasi pelbagai kaum dan moderat, selain mengamalkan politik bersifat centrist atau pertengahan.
Dalam aspek ekonomi, beliau berkata Konsensus Nasional Baru menekankan sistem ekonomi dipacu pasaran tetapi seimbang dan manusiawi selain menyentuh Dasar Ekonomi Berwawasan dan pembaharuan institusi.
Selain penyusunan semula T20, M40 dan B40, pendekatan federalisme serta pengukuhan demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan.