Upko mohon sertai GRS, mahu perkukuh kerjasama parti tempatan Sabah

Upko mohon sertai GRS, mahu perkukuh kerjasama parti tempatan Sabah

Presidennya Ewon Benedick berkata keputusan itu dibuat sebulat suara Majlis Tertinggi Upko pada 25 Mei lalu.

Hajiji Noor Ewon Benedick fb pic 29526
Ewon Benedick menyerahkan borang permohonan Upko untuk menyertai GRS kepada Hajiji Noor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Upko secara rasmi memohon untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Presidennya Ewon Benedick.

Ewon berkata permohonan itu dikemukakannya dalam pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, yang juga pengerusi GRS, hari ini.

Menurutnya, langkah itu selaras mandat Majlis Tertinggi Upko yang bersidang pada 25 Mei lalu, apabila parti itu sebulat suara memutuskan untuk menyertai GRS.

“Upko mahu menyumbang kepada penyatuan dan kerjasama parti-parti tempatan Sabah bagi memperkukuh usaha membangunkan masa depan Sabah serta memperjuangkan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada ketua menteri di atas kesediaan dan keterbukaan beliau yang mengalu-alukan keputusan penyertaan Upko ini,” katanya di Facebook.

Sebelum PRN Sabah pada November tahun lalu, Upko mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH), berkuat kuasa serta-merta.

Pilihan raya itu menyaksikan Upko menang 3 daripada 25 kerusi ditandingi dan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri dipimpin Hajiji.

Ewon dilantik sebagai timbalan ketua menteri dalam Kabinet Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.