Serah pada Hadi, PAS arah ahli ‘kunci mulut’

Serah pada Hadi, PAS arah ahli ‘kunci mulut’

Terdahulu presiden PAS berkata parti itu akan menilai semula hubungan kerjasama dengan Bersatu memandangkan pilihan raya semakin hampir.

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan melarang ulasan daripada pemimpin dan ahli PAS susulan perkembangan terkini parti itu dengan pihak lain.
PETALING JAYA:
Semua pimpinan dan ahli PAS diarah tidak membuat sebarang kenyataan berhubung perkembangan terkini parti itu dengan pihak lain tanpa kebenaran khas.

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, berkata sebarang ulasan di mana-mana saluran media atau komunikasi adalah tidak dibenarkan buat masa ini.

Sebaliknya, beliau meminta semua pihak kekal tenang dan menyerahkan perkara tersebut untuk dikendalikan Presiden Abdul Hadi Awang.

“Semua pihak diminta kekal tenang dan menyerahkan perkara seumpama ini kepada tuan guru presiden dan kepimpinan parti yang akan menguruskannya dengan cermat dalam waktu terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Hadi pada sidang media memberi amaran kepada Bersatu bahawa kesabaran ‘ada batas’ setelah PAS ‘mengkaji satu persatu tindakan Bersatu’, mengambil contoh situasi politik di Negeri Sembilan dan Perlis, serta pendirian berkenaan usaha membawa masuk parti tertentu dalam Perikatan Nasional (PN).

Hadi berkata, PAS akan menilai semua tindakan dan kerjasama dengan Bersatu kerana pilihan raya semakin hampir serta sebarang keputusan perlu mengambil kira untung rugi politik.

Antara perkara dibangkitkan Hadi adalah penarikan sokongan Adun Bersatu di Negeri Sembilan untuk bersama Umno bagi membentuk kerajaan negeri, perkembangan di Perlis yang menyaksikan tampuk pemerintahan beralih ke Bersatu, dan campur tangan pelantikan exco Kedah dan timbalan speaker di Kelantan.

Turut disentuh pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju usaha membawa masuk parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam tertentu dalam PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.