
Dua bekas menteri itu juga turut mengumumkan keluar PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) secara rasmi mulai Selasa.
Surat pengosongan kerusi Parlimen akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul esok dan kepada Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh pada esok.
Rafizi ketika berucap hampir sejam pada majlis pengumuman hala tujunya politik keduanya, turut menyifatkan tindakan diambil bersama Nik Nazmi merupakan ‘kamikaze’, selain turut mengakui tidak mempunyai jaminan ia akan berjaya.
“Atas kesedaran itu, saya, Nik dan rakan-rakan yang lain bersetuju untuk membuat ‘kamikaze’ sekali lagi. Masyarakat sekarang, demi generasi akan datang, GenZ, GenAlpha, GenBeta, memerlukan pilihan. Kita mahu memilih yang baik, bukannya memilih secara terpaksa dari kalangan yang kita tak suka, dipaksa memilih ‘the best among the bad’.
“Kami tahu tidak ada jaminan kami berjaya. Mungkin kami hilang deposit semua kerusi dan ditertawakan. Mungkin kami bersara dari politik sebagai orang-orang yang gagal. Oleh kerana kami tahu ia ‘kamikaze’, ia bukan mengenai menang pilihan raya atau menjadi menteri.
“…kami tahu platform itu mestilah platform yang baharu dan menampilkan semua idea dan wawasan ini tanpa kompromi,” katanya.
Beliau berkata, platform berkenaan tidak tersedia dalam kalangan parti sedia ada.
“Ia tidak boleh dari kalangan parti-parti sedia ada, yang ada percaturan politik masing-masing, dan sudah diwarnai oleh pandangan rakyat mengenai mereka,” katanya sambil memaklumkan perancangan mengambil alih Bersama sudah berjalan sejak setahun lalu.
Dalam pada itu, Nik Nazmi pula menyifatkan sistem politik sedia ada masih terperangkap dalam ketidaktentuan dan kompromi, mengenepikan agenda reformasi dan perubahan sering kali dijanjikan.
Rafizi bersama PKR hampir 27 tahun, manakala Nik Nazmi menyertai PKR sejak penghujung 1990-an.
Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi serta menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar pada Mei 2025.
Tindakan ini diambil selepas Rafizi kalah perebutan jawatan timbalan presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar pada pemilihan parti tersebut. Rakan gandingannya, Nik Nazmi, juga gagal mengekalkan jawatan naib presiden.
Sebelum ini, Rafizi pernah membayangkan akan meninggalkan PKR selepas Parlimen dibubarkan untuk mempertahankan kerusi Pandan, selain terselamat daripada usaha menyingkirkannya sebagai ketua PKR Cabang Pandan semasa mesyuarat agung tahunan cabang itu, pada April.