
Beliau berkata, pemecatan, penggantungan dan amaran yang dikeluarkan oleh lembaga disiplin Bersatu ialah langkah yang tepat bagi memastikan semua pemimpin akur kepada arahan parti dan mematuhi perlembagaannya.
Beliau percaya, tindakan itu adalah wajar dan adil, sekaligus membuka peluang kepada individu lain untuk mengisi jawatan kepimpinan dalam parti itu.
“Umno boleh mengambil bekas pemimpin dan ahli yang bermasalah ini demi kebaikan bersama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
“Bersatu akan terus membuka ruang dan menjadi inklusif kepada lebih ramai lagi di luar sana yang lebih berintegriti (dan) setia.”
Pada Jumaat, Bersatu memecat dua Adun Kedah, iaitu Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang) dan Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti), serta timbalan ketua Pemuda Faiz Rahmad kerana melanggar perlembagaan parti dan kod etika dan tatalaku.
Parti itu turut menggantung tujuh pemimpin selama dua penggal, iaitu Adun Perak Ahmad Man (Kuala Sepetang) dan Syed Lukman Hakim Syed Zin (Chenderoh); Ahli Parlimen Perak Nordin Ahmad Ismail (Lumut); Ahli Parlimen Pahang Khalib Abdullah (Rompin); Ahli Parlimen Kelantan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Khlir Nor (Ketereh); serta Ahli Parlimen Terengganu Rosol Wahid (Hulu Terengganu).
Segelintir pemimpin terlibat mendakwa mereka dipecat disebabkan hubungan rapat dengan Hamzah Zainudin, yang turut dipecat daripada Bersatu pada Februari lepas, di kemuncak kemelut kepimpinan membabitkan presiden parti, Muhyiddin Yassin.
Bersatu kini berbaki 19 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat selepas memecat enam yang lain, termasuk Hamzah, sepanjang setahun lepas. Bagaimanapun, daripada 19 Ahli Parlimen tersebut, majoritinya berpihak kepada Hamzah.
Beberapa pemimpin tertinggi turut digantung, termasuk Naib Presiden Ronald Kiandee (Ahli Parlimen Beluran) dan Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin (Ahli Parlimen Masjid Tanah).