
Abdul Razak berkata keputusan untuk tidak menerima pelawaan Umno itu dibuat kerana sudah mempunyai haluan politik sendiri bersama kumpulan yang dijangka akan bersama Perikatan Nasional (PN).
“Setakat ini, kita ucap terima kasihlah pada yang simpati dengan kita, yang pelawa untuk kita untuk masuk rumah dia.
“Walau apa pun kita ucap terima kasih. Tetapi, yang sebenarnya kita dah ada rumah baharu kita. Insyaallah, dalam masa terdekat kita akan umum parti mana yang kita nak pergi dan insyaallah kita masih kekal dengan bersama dengan PN,” katanya kepada FMT.
Abdul Razak mengulas pelawaan Umno supaya pemimpin dan ahli Bersatu dipecat kembali ke pangkuan parti itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Semalam, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, berkata partinya sedia menerima sesiapa sahaja tanpa syarat termasuk pimpinan dan ahli Bersatu dipecat atau digantung.
Agenda Rumah Bangsa adalah insiatif Presiden Umno Zahid Hamidi bagi mempelawa ahli dipecat dan digantung untuk kembali menyertai parti berkenaan atas tujuan penyatuan orang Melayu.
Kelmarin, lembaga disiplin Bersatu memecat keahlian Abdul Razak dan Adun Suka Menanti Dzowahir Ab Ghani yang juga exco pertanian, perladangan dan pengangkutan Kedah.
Mereka dipecat atas dakwaan melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan Bersatu serta kod etika dan tatakelakuan ahli.
Dalam pada itu, Abdul Razak yang juga timbalan speaker DUN Kedah, mendakwa pemecatannya berpunca daripada hubungannya yang rapat dengan Hamzah.
Beliau turut mendakwa tindakan itu sebahagian usaha dalaman didakwanya cuba melemahkan kekuatan PN di Kedah.
Mengulas kedudukannya, Abdul Razak berkata beliau kekal menjalankan tugas sebagai Adun Sungai Tiang, timbalan speaker DUN Kedah serta pengerusi PAC negeri, selain masih menyokong kerajaan negeri.