
Mereka berkata tiga kerusi dalam lembaga lima anggota itu, yang diperuntukkan kepada individu dilantik Yang di-Pertuan Agong, masih belum diisi.
“Selaras dengan kerangka Perlembagaan, pelantikan itu dibuat atas nasihat kerajaan persekutuan,” kata satu sumber kepada FMT.
Mengikut Perkara 42(6) Perlembagaan Persekutuan, semua ahli lembaga memegang jawatan bagi tempoh tiga tahun dan layak dilantik semula.
Tidak dapat dipastikan berapa lama tiga kerusi itu kekal kosong kerana tiada rekod awam yang menyenaraikan ahli terdahulu, tarikh pelantikan mereka atau tempoh perkhidmatan berakhir.
Menurut Perkara 42(8) Perlembagaan, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, yang mempengerusikan mesyuarat itu.
Perlembagaan tidak menetapkan berapa kali lembaga berkenaan mesti bersidang dalam setahun.
“Bagaimanapun, korum penuh lima anggota perlu bersidang untuk menimbang sama ada mahu memberikan pengampunan, penangguhan hukuman atau pelepasan sementara, serta mengurangkan, menggantung atau menukar hukuman yang dijatuhkan mahkamah,” tambah sumber itu.
FMT telah mendapatkan maklum balas Peguam Negara Dusuki Mokhtar, yang juga penasihat undang-undang utama kerajaan dan ahli lembaga berkenaan.
Perkara 42(5) memperuntukkan peguam negara ialah anggota lembaga itu.
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh ketika ini menganggotai Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan atas kapasitinya sebagai menteri wilayah persekutuan.