
Majistret Aina Azahra Arifin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh memaklumkan kepada mahkamah bahawa representasi yang dikemukakan Inspektor Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 38, ditolak oleh Jabatan Peguam Negara.
“Perbicaraan penuh ditetapkan selama dua hari pada 1 dan 2 Dis depan,” kata Aina Azahra.
Wanita itu didakwa telah dengan sengaja menghalang pegawai polis, iaitu Malvinderjit Singh Teerath Singh, 37, daripada menjalankan tugasnya meronda cegah jenayah di hadapan sebuah restoran di Jalan Sultan Azlan Shah, Dang Wangi di sini, antara 8.15 hingga 8.30 malam, 4 Nov tahun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini, Sheila Sharon diwakili peguam M Manoharan.
Dalam kejadian 4 Nov tahun lepas, wanita berkenaan telah menuduh anggota bertugas tidak mengetahui undang-undang dan memperlekeh tindakan pihak polis, selain mendakwa anggota polis berkenaan mengugut seorang warga Pakistan yang menunggang motosikal.
Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023, susulan beberapa kes antaranya menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.