
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata penahanan mereka dibuat hasil serbuan polis bermula 4.40 petang semalam hingga 2.30 pagi tadi.
Katanya, serbuan dilakukan di lokasi berasingan iaitu di Taman Murni, Jalan Abdul Kadir Adabi dan Kampung Belukar Luas, Ketereh.
“Polis kemudiannya menahan tiga lelaki berusia antara 19 hingga 66 tahun dan seorang wanita berusia 60 tahun.
“Kesemua tangkapan didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing menunjukkan kesemuanya negatif dadah,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata pihaknya turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, berserta dua buah kereta, dua telefon bimbit, satu set pakaian, sepasang selipar dan empat unit pelapik kaki.
Katanya, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Kota Bharu dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat mangsa pada 12.35 tengah malam kelmarin.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini untuk tindakan lanjut.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan pada 9.30 pagi semalam mendapati, punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan penemuan mangsa yang juga penuntut kolej berasal dari Perak.
Yusoff dilaporkan berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan terbabit.