
Baginda berkenan menerima menghadap Taufiq di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini.
Dalam satu hantaran di Facebook, Pejabat Diraja Selangor memaklumkan Sultan Sharafuddin berpuas hati dengan langkah penganjur untuk mengurangkan perbelanjaan selaras dengan keadaan ekonomi semasa.
Menurutnya, baginda menegaskan bahawa setiap perbelanjaan untuk Sukma kali ini mestilah hanya tertumpu kepada perkara penting sahaja dengan memberi fokus kepada pembangunan sukan dan atlet muda di peringkat tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Najwan Halimi sebelum ini berkata persiapan terperinci serta anggaran kos terkini bagi temasya itu akan dibentangkan kepada baginda hari ini.
Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa tertinggi Sukma yang dijadualkan esok juga akan membincangkan perancangan acara serta mendapatkan pandangan daripada semua negeri yang mengambil bahagian.
Najwan, yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur Sukma ke-22 dan Para Sukma Selangor 2026, berkata sebanyak 37 acara sukan akan dipertandingkan, termasuk penambahan sukan silambam, muay thai dan petanque.
Sultan Sharafuddin telah memberi perkenan kepada negeri itu untuk menjadi tuan rumah temasya berkenaan selepas baginda menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Khamis lalu.