
Mengulas kenyataan Bendahari PAS Iskandar Samad yang wajar parti itu mengetuai PN Selangor, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Afif Bahardin berkata pandangan bekas Adun Chempaka berkenaan sebagai terpencil.
Beliau mendakwa dalam pertemuan dengan PAS Selangor baru-baru ini, mereka menyatakan mahu status quo atas dasar kesepakatan PN di negeri itu telah terbukti berkesan.
“Sehingga peranan pembangkang dimainkan diiktiraf Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“PAS Selangor mahu Azmin terus terajui PN di Selangor,” katanya kepada FMT sambil meminta Iskandar merujuk kepada PAS negeri itu berhubung pendirian mereka.
Semalam, lidah rasmi PAS Harakahdaily melaporkan kenyataan Iskandar yang berkata PN masih mempunyai peluang menawan Selangor, namun ia tidak ‘bermakna’ sekiranya gabungan itu terus bergerak perlahan tanpa hala tuju jelas dan tersusun.
Menurutnya, berdasarkan realiti semasa, PAS dilihat komponen paling konsisten dalam menggerakkan jentera PN di akar umbi yang mewajarkannya mengetuai gabungan itu di Selangor.
Azmi pada 30 Dis lalu meletak jawatan sebagai pengerusi PN Selangor susulan pengunduran Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bagi jawatan sama di peringkat pusat.
Ahad lalu, Muhyiddin berkata Bersatu telah mencadangkan nama-nama untuk menjadi pengerusi PN Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah, yang didakwanya kuota parti terbabit.
Menurut Muhyiddin, bagi Selangor nama Azmin dicadangkan memandangkan beliau juga ketua pembangkang di DUN Selangor.