Kemelut N Sembilan akan diselesaikan ikut cara politik, kata Zahid

Kemelut N Sembilan akan diselesaikan ikut cara politik, kata Zahid

Presiden Umno tegaskan pihaknya takkan campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri atau undang-undang adat Negeri Sembilan.

ZAHID HAMIDI BN
Presiden Umno yang juga Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan cari penyelesaian terbaik agar kerajaan negeri dapat terus berfungsi dan mampu penuhi keperluan rakyat.
PETALING JAYA:
Kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan akan diselesaikan melalui saluran politik, dengan mematuhi sepenuhnya undang-undang tubuh negeri serta peraturan DUN, kata Presiden Umno Zahid Hamidi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, sebarang penyelesaian perlu dibuat secara tertib dan mengikut prosedur yang ditetapkan agar kestabilan pentadbiran negeri tidak terjejas.

“Saya harap kita ikuti undang-undang tubuh kerajaan Negeri Sembilan dan juga peraturan DUN. Pada hemat saya, (perkara ini) tidak semudah itu dan yang paling baik ialah mengikuti semua peraturan serta prosedur yang ada terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya berhubung isu pentadbiran Negeri Sembilan selepas majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ke-54 dan pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0 di Cyberjaya, lapor Bernama.

Zahid menegaskan pihaknya tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri atau undang-undang adat Negeri Sembilan.

Sebaliknya, katanya, pihaknya akan mencari penyelesaian terbaik demi memastikan kerajaan negeri terus berfungsi dan mampu memenuhi keperluan rakyat.

Mengulas gesaan supaya tidak berlaku langkah membentuk kerajaan negeri secara ‘tebuk atap’, beliau berkata, perbincangan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan diadakan hari ini bagi mencari penyelesaian yang sesuai.

Semalam, kesemua 14 Adun Umno dan BN Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin Harun, susulan kemelut pemerintahan yang berlaku dan pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada speaker dan setiausaha DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.