
Khaliq yang juga bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) berkata, ini kerana tiada ahli disingkirkan menyatakan keinginan kembali menyertai Bersatu.
“Setahu saya setakat ini tidak ada sesiapa yang dipecat mahu balik menyertai Bersatu. Yang ada ialah penarikan balik rayuan atau yang langsung tak teringin untuk merayu kerana mereka tidak mahu kembali.
“Malahan ramai dalam kalangan kami termasuk saya yang tak dipecat pun dengan sendiri isytihar keluar Bersatu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mendakwa, tindakan ahli meninggalkan Bersatu secara sukarela adalah bukti hilang kepercayaan terhadap kepimpinan sedia ada.
Katanya, Muhyiddin selaku presiden Bersatu kini sekadar menjadi ‘pak turut’ kepada Setiausaha Agung Azmin Ali sehingga mengetepikan agenda perjuangan asal parti.
“Selagi pasangan Azmin-Muhyiddin menguasai Bersatu, Muhyiddin tidak perlu bercakap mengenai kembalinya mereka yang dipecat kerana bilangan yang sukarela hendak keluar adalah jauh lebih ramai,” katanya.
Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata Bersatu masih belum mempertimbangkan untuk menerima semula ahli yang dipecat tanpa syarat, seperti dilakukan Umno baru-baru ini.
Beliau mengingatkan kesan daripada tindakan diambil ke atas mereka yang berkenaan masih ‘terasa’.
Sebelum ini, Khalid mengesahkan keanggotaanya sebagai ahli MPT ditamatkan, yang disifatkan kerana tidak menyokong penuh presiden dalam ‘perkara tertentu’.
Kemelut dalaman Bersatu menyaksikan pemecatan Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden, disusuli penggantungan keahlian ke atas Naib Presiden Ronald Kiandee dan Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin.