DAP Melaka tak sokong cadangan Adun lantikan dalam kerjasama PH-BN

DAP Melaka tak sokong cadangan Adun lantikan dalam kerjasama PH-BN

Ketua DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, berkata tiada sebarang perbincangan dalam PH Melaka mengenai cadangan tersebut.

Khoo Poay Tiong
Ketua DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata DAP negeri tidak menyokong cadangan pelantikan Adun lantikan sebagai sebahagian kerjasama dengan BN. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
DAP Melaka tidak menyokong cadangan pelantikan Adun lantikan sebagai sebahagian formula kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang PRN akan datang.

Ketua DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, berkata setakat pengetahuan parti itu, tiada sebarang perbincangan dalam PH Melaka mengenai cadangan pelantikan Adun lantikan.

“DAP Melaka juga tidak menyokong cadangan tersebut,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka di Facebook.

Khoo mengulas kenyataan Pengerusi PH negeri Adly Zahari bahawa gabungan itu membuka pintu kepada kerjasama dengan BN pada PRN, namun menyerahkan gabungan itu menilai beberapa cadangan awal termasuk ruang lebih besar melalui pelantikan Adun.

Adly berkata langkah itu susulan pertemuan awal beliau dengan Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh, sebagai sebahagian pendekatan terbuka PH meneroka kerjasama politik demi mengelakkan persaingan boleh menjejaskan kestabilan negeri.

Naib presiden Amanah itu berkata beberapa cadangan telah dikemukakan kepada BN sebagai asas perbincangan, namun mengakui realiti politik menyaksikan setiap parti cenderung mempertahankan kerusi masing-masing.

Perkembangan itu hadir ketika wujud isyarat awal hubungan lebih positif antara kedua-dua gabungan, dengan pemangku Ketua PKR Melaka Adam Adli sebelum ini memaklumkan pertemuan antara Adly dan Rauf menunjukkan potensi kerjasama.

Presiden Umno Zahid Hamidi pada 17 April lalu berkata keputusan sama ada Umno akan bergerak bersendirian pada PRN Melaka akan datang, atau bekerjasama dengan PH akan diumumkan kelak.

Rauf berkata PRN Melaka akan tetap diadakan pada tahun ini selaras perlembagaan negeri walaupun ada gesaan supaya ia ditangguhkan susulan krisis global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.