
Beliau berkata, pencapaian itu penting kerana Amanah bukan sahaja melepasi jangka hayat parti Melayu terdahulu seperti Semangat 46, malah terus berkembang sebagai pemain relevan dalam politik negara.
Semangat 46 pimpinan bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah ditubuhkan pada 1989 pasca pemilihan Umno menyaksikan tokoh itu kalah dengan 43 undi kepada Dr Mahathir Mohamad, sebelum dibubarkan lapan tahun kemudian.
“Amanah sudah lebih 10 tahun dengan kira-kira 200,000 ahli. Kalau bandingkan dengan parti Melayu lain yang pernah ditubuhkan, banyak yang tidak bertahan lama.
“Dalam tempoh ini, Amanah bukan sahaja kekal, malah berjaya membina tapak di negeri seperti Johor, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan,” katanya dalam temu bual FMT.
Amanah ditubuhkan pada 16 Sept 2015 oleh bekas pemimpin PAS dengan Mohamad Sabu sebagai presiden yang sebelum itu gagal pertahan jawatan timbalan presiden.
Ia kemudian bergabung dengan DAP dan PKR membentuk Pakatan Harapan. Amanah kini mempunyai lapan kerusi Parlimen dan 11 DUN, termasuk lima di Selangor serta masing-masing satu di beberapa negeri lain.
Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, memasuki dekad kedua, tumpuan Amanah kini bukan sekadar mengekalkan sokongan, tetapi memperkukuh parti melalui pembinaan kepimpinan muda.
Katanya, Amanah sedang memberi ruang lebih luas kepada bakat baharu, termasuk golongan muda berpendidikan dan mereka yang sudah mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan.
“Kalau kita mahu Amanah terus ke hadapan, kita mesti bina barisan pelapis. Sebab itu ramai anak muda diberi ruang, termasuk dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.
Adly yang juga pengerusi Amanah Melaka berkata, penyertaan parti itu dalam kerajaan selepas PRU15 memberi peluang penting untuk membuktikan kemampuan Amanah bukan sahaja sebagai parti politik, tetapi juga sebagai sebahagian daripada pentadbiran negara.
Ditanya sama ada Amanah berjaya menjadi alternatif kepada PAS, Adly menegaskan parti itu tidak ditubuhkan untuk menggantikan mana-mana pihak.
Sebaliknya, katanya, Amanah membawa pendekatan berbeza berasaskan gagasan ‘rahmat untuk semua, dengan penekanan kepada keadilan sosial, pendidikan nilai, kesejahteraan rakyat dan usaha menangani kemiskinan.
“Kita tidak berniat menggantikan PAS. Model perjuangan kita berbeza.
“Amanah membawa mesej ‘rahmat untuk semua’, dengan fokus kepada keadilan sosial, termasuk isu kemiskinan, pendidikan nilai dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Mengulas persepsi kerjasama dengan DAP menjadi liabiliti politik, Adly berkata perkara itu adalah cabaran biasa dalam politik Malaysia yang berbilang kaum.
Beliau berkata DAP adalah parti besar dan mana-mana parti yang bekerjasama dengannya pasti menjadi perhatian, sambil menegaskan kerjasama mereka dibina atas prinsip bersama, khususnya keadilan sosial.
“Tetapi PAS sendiri pernah bekerjasama dengan DAP dalam tempoh yang lama. Hakikatnya, dalam negara majmuk, kerjasama antara parti pelbagai kaum adalah satu keperluan.
“Kita terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berkongsi prinsip yang sama,” katanya.