
Salleh Said Keruak berkata, meskipun wujud peralihan lebih jelas ke arah kepimpinan muda di Semenanjung — merujuk contoh Amirudin Shari dan Onn Hafiz Ghazi — banyak negeri masih lagi diterajui ‘tokoh berpengalaman berusia lingkungan 60-an’.
Amirudin dan Onn Hafiz masing-masing menteri besar bagi Selangor dan Johor.
Salleh berkata, hakikat hanya segelintir negeri diterajui pemimpin muda memaparkan peralihan kepada kepimpinan lebih muda berlaku perlahan didorong hierarki parti sedia ada, rangkaian naungan berakar umbi, dan kebimbangan terhadap potensi ketidakstabilan.
“Kesimpulannya jelas. Malaysia tidak kurang pemimpin muda, tetapi sistem yang ada masih mengutamakan pengalaman,” katanya dalam catatan Facebook.
Namun, beliau berkata, Malaysia memperlihatkan elemen keseimbangan antara pemimpin lama dan muda, walaupun ia masih belum mekar sepenuhnya berbanding bahagian lain di dunia, di mana landskap politiknya masih dibentuk oleh ‘orang lama’.
Salleh berkata, tokoh politik seperti Xi Jinping, Narendra Modi, Vladimir Putin, dan Donald Trump, yang semuanya berusia lingkungan 70-an, terus mendominasi.
“Malaysia berada dalam fasa ‘peralihan separa’. Perubahan sedang berlaku, tetapi belum lagi menjadi trend yang dominan.”