Pesara dakwa wujud berat sebelah, mohon panel hakim baharu dalam pertikaian pencen

Pesara dakwa wujud berat sebelah, mohon panel hakim baharu dalam pertikaian pencen

Permohonan difailkan di Mahkamah Rayuan itu dijadualkan untuk pengurusan kes pada minggu depan.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Seramai 57 pesara penjawat awam memfailkan permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan kerajaan tidak wajib melaraskan pencen bekas penjawat awam berdasarkan pekeliling perkhidmatan pada 2016.
PUTRAJAYA:
Usaha 57 bekas penjawat awam untuk memaksa kerajaan membayar tunggakan pelarasan pencen berjumlah RM1.7 bilion kepada lebih setengah juta pesara kini memasuki fasa baharu.

Kumpulan itu telah memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Rayuan dengan mendakwa wujud unsur berat sebelah oleh salah seorang daripada tiga hakim yang membenarkan rayuan kerajaan.

Dalam permohonan difailkan dua minggu lalu dilihat FMT, mereka memohon supaya satu panel hakim Mahkamah Rayuan yang baharu dibentuk bagi membatalkan keputusan bertarikh 3 Mac.

Permohonan itu dijadualkan untuk pengurusan kes pada minggu depan.

Mereka berhujah bahawa Mahkamah Rayuan mempunyai kuasa di bawah Peraturan 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 untuk membetulkan ketidakadilan atau penyalahgunaan proses mahkamah.

Dalam afidavit sokongan, bekas pegawai Kementerian Luar, Aminah Ahmad, menyatakan keputusan itu perlu dibatalkan kerana menimbulkan risiko sebenar berlakunya berat sebelah dalam kehakiman.

“Ini telah melanggar prinsip keadilan dan menjadikan keputusan tersebut tidak selamat untuk dipertahankan,” katanya.

Beliau turut menegaskan seorang ahli panel hakim sebelum ini pernah menyatakan pendapat berbeza dalam isu undang-undang yang hampir sama, namun tidak mendedahkan perkara itu kepada pihak-pihak terlibat.

“Kegagalan mendedahkan pendirian terdahulu itu telah menafikan peluang kepada pemohon untuk membantah atau memohon supaya hakim berkenaan menarik diri,” katanya.

Rayuan itu didengar dan diputuskan panel yang diketuai Hakim Lim Chong Fong bersama Hakim Azhahari Kamal Ramli dan Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid.

Azhahari, yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel, menyatakan kerajaan tidak diwajibkan untuk melaraskan pencen bekas penjawat awam berdasarkan pekeliling perkhidmatan 2016.

Beliau juga berkata isu tersebut telah pun diputuskan sebelum ini oleh Mahkamah Rayuan pada tahun 2022.

Pemohon kini telah memohon kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Sehingga kini, alasan penghakiman bertulis masih belum dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan.

Azhahari turut memutuskan semakan kehakiman yang difailkan oleh 57 pemohon adalah res judicata (iaitu perkara yang telah diputuskan oleh mahkamah yang berbidang kuasa), dan tidak boleh dibicarakan semula kerana ia merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Mahkamah Rayuan pada 2022 telah membatalkan pindaan terhadap Akta Penyelarasan Pencen 1980 (PAA) yang dibuat pada tahun 2013, yang memperkenalkan kenaikan tahunan tetap sebanyak 2% kepada pesara.

Mahkamah memutuskan pindaan 2013 itu tidak berperlembagaan kerana meletakkan pesara penjawat awam dalam kedudukan yang kurang menguntungkan, bertentangan dengan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Selepas itu, Aminah dan pemohon lain memfailkan semakan kehakiman ini bagi mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi untuk memaksa kerajaan melaraskan pencen mereka berdasarkan formula sebelum 2013 di bawah PAA.

Di bawah formula sebelum 2013, pencen diselaraskan mengikut kenaikan gaji penjawat awam yang masih berkhidmat.

Mahkamah Tinggi pada 2023 membenarkan permohonan itu yang membawa kepada rayuan semasa. Namun, pelaksanaan perintah itu telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.