
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Noorin Badaruddin mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen selepas berpuas hati dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai.
“Rayuan ini wajar campur tangan oleh Mahkamah Rayuan,” kata Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz yang membacakan penghakiman ringkas.
Lelaki berusia 37 tahun itu turut diperintahkan dikenakan tujuh sebatan.
Seorang lagi anggota panel ialah Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid.
Terdahulu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan selepas Mahkamah Tinggi mengurangkan tempoh penjara terhadap Tengku Izwan Shah Azman daripada 17 tahun kepada 11 tahun.
Tengku Izwan melakukan kesalahan tersebut di Tanjung Rambutan dan Beruas, Perak antara 23 hingga 26 Julai 2023.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara empat tahun dan satu sebatan, manakala bagi pertuduhan kedua, lima tahun penjara dan satu sebatan.
Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman itu dijalankan secara serentak, menjadikan tempoh penjara bagi dua pertuduhan pertama adalah lima tahun.
Namun, mahkamah menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dan dua sebatan masing-masing bagi pertuduhan ketiga dan keempat.
Hukuman ini diperintahkan berjalan secara berasingan selepas dua pertuduhan pertama, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman 17 tahun.
Susulan rayuan Tengku Izwan, Mahkamah Tinggi Ipoh mengekalkan hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua, tetapi memerintahkan hukuman bagi pertuduhan ketiga dan keempat dijalankan secara serentak.
Allan berhujah bahawa keempat-empat kesalahan itu adalah perbuatan jenayah berasingan yang dilakukan pada masa, tempat dan terhadap mangsa yang berbeza.
“Struktur hukuman asal yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen adalah wajar dan seimbang,” katanya.
Beliau berkata dengan menggunakan senjata berbahaya, Tengku Izwan menimbulkan ketakutan terhadap mangsa sehingga menyerahkan wang tunai dan barangan berharga berjumlah hampir RM25,000.
Peguam Aliff Aiman Rusli yang mewakili Tengku Izwan memohon mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dengan alasan anak guamnya mempunyai lima orang anak untuk ditanggung.