
Ahmad Zaharudin Sani Ahmad Sabri memberi amaran pertembungan itu berisiko meletakkan PAS tersepit sekali gus menjejaskan Perikatan Nasional (PN) dan menguntungkan Umno.
Bercakap kepada FMT, beliau berkata persaingan dua pemimpin menjadi tumpuan kerana latar belakang sebagai bekas timbalan presiden Bersatu, pengalaman dalam kerajaan persekutuan selain hubungan baik dengan PAS.
Menurut Zaharudin, Hamzah didakwa mempunyai kelebihan kerana disokong majoriti wakil rakyat yang setia dengannya termasuk Adun Sungai Manik Zainol Fadzi Paharudin yang juga ketua whip pembangkang DUN Perak.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dan Zainol dipecat Bersatu susulan krisis kepimpinan Bersatu dan penentangan terhadap Presiden Muhyiddin Yassin.
Faizal atau lebih dikenali Peja, menurut Zaharudin, pula lebih bergantung kepada legasi sebagai bekas menteri besar dari 2018 hingga 2020.
“Hamzah diakui ada aura kuat dalam kalangan pemimpin PN tetapi keadaan itu tidak menjamin sokongan diterjemah rakyat di peti undi.
“Saya lihat persaingan antara Bersatu dan Reset paling panas di Perak,” katanya menjangkakan pertembungan dua bekas menteri itu memberi risiko kepada PN.
Zaharudin berkata, konflik tercetus sejak pemecatan Hamzah yang membawa pengenalan Reset mungkin memberi dilema kepada PAS yang turut mempunyai hubungan baik dengan Faizal.
“Hamzah mungkin perlukan platform bertanding, Faizal pula cuba mengekalkan dirinya masih relevan tetapi kedua-dua akhirnya menjerat PN dan melemahkan blok pembangkang,” katanya.
Beliau merujuk kecenderungan Hamzah mahu menyertai PN menerusi parti baharu atau komponen sedia ada yang mungkin ditolak Muhyiddin.
“Konflik dalaman itu membuka ruang besar kepada Umno untuk meraih keuntungan politik, khususnya dalam persaingan mendapatkan sokongan pengundi Melayu,” kata Zaharudin.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berkata, ‘penurunan pangkat’ daripada timbalan presiden kepada naib presiden pada pemilihan Bersatu lalu memberi kesan kepada persepsi terhadap Faizal.
“Perkara ini menimbulkan tanda tanya bagaimana perubahan itu berlaku,” katanya.
Pada PRU15, PN memenangi 26 kerusi DUN Perak, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 24 dan Barisan Nasional (BN) meraih sembilan kerusi.
BN memilih untuk membentuk kerajaan negeri bersama PH seperti kerjasama peringkat persekutuan.