4,708 hilang kerja awal April dipantau rapi kerajaan, kata menteri

4,708 hilang kerja awal April dipantau rapi kerajaan, kata menteri

Menteri Ekonomi Akmal Nasir berkata suku kedua 2026 akan menjadi tempoh penting untuk menilai sama ada tekanan kos dihadapi syarikat mula diterjemahkan kepada langkah pengurangan operasi.

Akmal Nasrullah Nasir
Menteri Ekonomi Akmal Nasir, berkata trend pemberhentian pekerja masih memerlukan pemantauan rapi, bagaimanapun ia belum menunjukkan tekanan berskala besar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 4,708 pekerja dilaporkan hilang kerja bagi tempoh 16 hari pertama April berdasarkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Ekonomi Akmal Nasir, berkata trend berkenaan masih memerlukan pemantauan rapi, bagaimanapun ia belum menunjukkan tekanan berskala besar.

“Namun, pengalaman lalu menunjukkan impak kejutan kos tenaga kepada pekerjaan lazimnya muncul dengan sedikit jarak waktu.

“Oleh itu, suku kedua 2026 akan menjadi tempoh penting untuk menilai sama ada tekanan kos dihadapi syarikat mula diterjemahkan kepada langkah pengurangan operasi atau pekerjaan,” katanya dalam taklimat disiarakan secara langsung.

Sebelum ini, dilaporkan berlaku 5,900 kehilangan pekerjaan pada Mac, penurunan berbanding 7,500 yang dilaporkan pada Februari, dan 10,700 pada Januari.

“Apa yang sedang kita hadapi sekarang bukan lagi kejutan jangka pendek. Ini bukan sekadar isu harga minyak, tetapi telah berkembang menjadi krisis bekalan global yang memberi kesan kepada kos tenaga, logistik, bahan mentah, makanan, perkhidmatan, dan akhirnya kepada kehidupan harian rakyat,” katanya.

Katanya, tekanan inflasi kini semakin dirasai dalam negara dengan indeks harga pengguna meningkat kepada 1.7% pada Mac daripada 1.4% pada Februari, didorong sebahagian besarnya oleh kos pengangkutan lebih tinggi.

Akmal berkata, harga makanan menunjukkan pergerakan bercampur sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan harga ayam dan sayuran meningkat, manakala daging lembu dan ikan menurun, dan harga telur pula kekal stabil.

“Ini menunjukkan tekanan bekalan tidak berlaku secara seragam, tetapi berbeza mengikut kategori dan dipengaruhi oleh faktor cuaca, kos input pertanian, kos pengangkutan, dan turun naik bekalan jangka pendek.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.