
Menteri Ekonomi, Akmal Nasir, berkata kerajaan kekal menyasarkan ketibaan 47 juta pelancong asing serta RM329 bilion hasil seperti ditetapkan sasaran asal TMM 2026.
Katanya, keputusan itu dibuat Majlis Tindakan Ekonomi Negara hari ini sebagai sebahagian langkah memastikan daya tahan sektor pelancongan dalam keadaan ketidaktentuan global.
Menurutnya, Malaysia juga akan mula memberi tumpuan kepada pasaran pelancongan lebih stabil seperti negara Asia Tenggara dan Asia Timur, Australia serta India bagi mengekalkan ketibaan pelawat dan aliran hasil pelancongan.
“Dalam situasi semasa, kesinambungan semua industri kritikal adalah sebahagian strategi memastikan kelangsungan ekonomi negara,” katanya
Beliau berkata, sebanyak 288 penerbangan dari Asia Barat ke Malaysia dibatalkan dalam tempoh sebulan sejak krisis itu tercetus, melibatkan 88,438 tempat duduk.
Namun, segmen itu menyumbang kurang 1% daripada jumlah keseluruhan ketibaan pelancong ke Malaysia.
Jalin kerjasama dengan Australia, China untuk input penting
Akmal berkata, kerajaan sedang mengusahakan aturan bekalan strategik dengan rakan kongsi utama seperti Australia dan China bagi memastikan kelangsungan input penting untuk ekonomi.
“Kerjasama dengan Australia pada masa ini tertumpu kepada usaha memastikan kelangsungan input tenaga dan pertanian, termasuk keperluan Malaysia terhadap fosfat untuk pengeluaran baja dan keperluan Australia terhadap baja urea dari Malaysia.
“Bagi China pula, tumpuan diberikan kepada langkah strategik untuk meningkatkan bekalan resin dan nafta bagi menyokong pengeluaran peranti perubatan kritikal di dalam negara,” katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan sedang mempergiatkan usaha untuk mengukuhkan jaminan tenaga, dengan lebih 70% depot adunan biodiesel di seluruh negara bersedia melaksanakan program biodiesel B15 menggunakan kemudahan sedia ada.
“Langkah pelarasan operasi sedang dirangka oleh depot-depot adunan bagi memastikan kecekapan dan jaminan bekalan produk petroleum kepada pengguna,” katanya.