
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata tangkapan dibuat susulan video tular berdurasi 44 saat dimuat naik di Facebook, pada 31 Mei lalu.
Katanya, video itu memaparkan beberapa penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya bersama pembonceng di jalan raya awam.
“Hasil tindakan dan risikan Unit Risikan/Operasi JSPT Kuala Lumpur, tangkapan pertama dibuat pada 1 Jun kira-kira 3.20 pagi membabitkan seorang penunggang lelaki berusia 20 tahun bersama pembonceng perempuan berusia 16 tahun.
“Kedua-duanya merupakan pasangan kekasih dan menggunakan motosikal Yamaha 135LC berwarna putih,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, tangkapan kedua dibuat pada 2 Jun kira-kira 12.54 tengah malam membabitkan dua lagi penunggang lelaki berusia 17 dan 16 tahun serta dua pembonceng perempuan berusia 18 dan 15 tahun.
Beliau berkata, semua mereka dipercayai terlibat dalam rakaman video tular berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya.
Zamzuri berkata, semua suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis kerana terdapat individu bawah umur dalam kumpulan itu.