Lelaki China penganjur parti dadah, pesta gay

Lelaki China penganjur parti dadah, pesta gay

Bulan lalu 51 ditahan dalam empat siri serbuan di hotel terkemuka di ibu negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata 17 telah didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, seorang mengikut Seksyen 39A(1), dan 33 lagi mengikut Seksyen 12(2) akta sama. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga China yang ditahan dalam serbuan di sebuah pesta terkait aktiviti songsang dan penyalahgunaan dadah di hotel mewah di ibu negara bulan lalu dikenal pasti sebagai penganjur acara berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata siasatan turut mendapati acara berkenaan dipromosikan menerusi platform Instagram.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati dadah dirampas ketika serbuan dipercayai untuk kegunaan sendiri dan digunakan bersama individu yang menghadiri pesta berkenaan tanpa sebarang unsur pengedaran.

“Namun, risikan masih diteruskan bagi mengesan punca bekalan dadah tersebut,” katanya kepada Bernama.

Dalam perkembangan sama, Hussein berkata pihak polis masih menunggu laporan rasmi hospital berhubung punca kematian seorang lelaki yang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semasa operasi berkenaan.

Beliau berkata, daripada 51 individu ditahan, 17 sudah didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, seorang mengikut Seksyen 39A(1), dan 33 lagi mengikut Seksyen 12(2) akta sama.

Lelaki warga China yang dipercayai menjadi penganjur pesta itu pula didakwa mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Pada 24 Mei, polis menahan 51 lelaki dalam empat siri serbuan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara kerana dipercayai terlibat ‘parti dadah dan pesta gay’, termasuk rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan RM103,070.

Dalam operasi itu, polis turut mengesan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam pesta berkenaan yang diusung keluar dari lobi hotel dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia selepas tiba di HKL.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.