Bon kelakuan baik memadai bagi pesalah juvana terlibat rogol berkumpulan, kata mahkamah

Bon kelakuan baik memadai bagi pesalah juvana terlibat rogol berkumpulan, kata mahkamah

Mahkamah Tinggi di Kedah berkata Akta Kanak-kanak adalah rangka kerja lengkap tersendiri mengutamakan pemulihan berbanding hukuman bersifat punitif terhadap pesalah juvana.

kompleks mahkamah alor setar
Mahkamah Tinggi berkata membenarkan peruntukan keseksaan am mengatasi Akta Kanak-kanak akan menjejaskan niat Parlimen dan mengehadkan budi bicara kehakiman.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi di Kedah memutuskan bon berkelakuan baik selama dua tahun memadai dan bukannya khidmat masyarakat sebagai hukuman dikenakan terhadap pesalah juvana yang mengaku terlibat rogol berkumpulan ke atas seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, pada 2021.

Hakim Johan Lee berkata, beliau tidak akan menggantikan pandangannya sendiri dengan pandangan mahkamah perbicaraan, yang memilih bon berkelakuan baik, berbanding perintah khidmat masyarakat di bawah peruntukan yang mengawal selia pesalah juvana.

“Hukuman itu kekal dalam ruang lingkup yang dibenarkan di bawah Seksyen 91(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 dan tidak mengejutkan perasaan hati mahkamah,” katanya ketika menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman itu.

Lee, dalam penghakiman 28 halaman dikeluarkan minggu lalu, berkata beliau menyedari hujah pihak pendakwaan bahawa rogol berkumpulan merupakan kesalahan serius di bawah Kanun Keseksaan yang memerlukan hukuman pemenjaraan berat.

Namun, beliau berkata pengelasan sedemikian tidak ‘memadamkan atau mengatasi secara mekanikal’ rangka kerja penghukuman ditetapkan dalam Akta Kanak-kanak 2001 bagi seorang pesalah juvana berusia 14 tahun.

Lee berkata, akta tersebut berfungsi sebagai kod lengkap tersendiri yang mengawal selia pesalah di bawah umur, dengan penekanan kepada pemulihan, keadilan restoratif, dan kepentingan terbaik kanak-kanak berkenaan, dan bukannya kecaman bersifat pembalasan dendam.

Katanya, membenarkan peruntukan keseksaan am mengatasi Akta Kanak-kanak akan menjejaskan niat Parlimen dan mengurangkan budi bicara kehakiman.

“Justeru, mahkamah mengekalkan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah perbicaraan untuk bon berkelakuan baik seperti yang diperincikan,” katanya.

Pesalah juvana berkenaan dituduh bersama dua lagi atas kesalahan melakukan perbuatan itu, di sebuah hotel di Alor Setar, pada 17 Sept 2021.

Dia mengaku bersalah pada 2024 selepas dipanggil membela diri. Dua lagi tertuduh secara bersama disabitkan bersalah dan dijatuhi masing-masing hukuman penjara 13 tahun.

Sementara itu, pesalah juvana tersebut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun tanpa penjamin dan diperintahkan untuk melapor diri kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat setiap dua bulan sehingga tempoh bon itu selesai.

Seorang daripada tertuduh yang disabitkan tidak mengemukakan rayuan. Seorang lagi tertuduh, berusia 20 tahun pada masa kesalahan itu dilakukan, mendapati rayuannya terhadap sabitan dan hukuman ditolak.

Lee berkata lelaki itu, yang kini berusia 25 tahun, memainkan peranan sepenuhnya dalam kesalahan berkenaan, sambil mengambil maklum dia berada di hotel tersebut selepas membayar bilik, manakala pesalah juvana terbabit tiba bersama mangsa.

Lee turut memutuskan hakim perbicaraan adalah betul dalam menolak pembelaan lelaki itu—yang mendakwa dirinya tidak terlibat—sebagai penafian kosong dan sesuatu yang difikirkan kemudian.

Beliau berkata, keterangan mangsa yang disokong bukti perubatan didapati boleh dipercayai dan mencukupi untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.