
Pada 23 Feb, kerajaan Sarawak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan dan pemakaian tiga undang-undang persekutuan, Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 — setakat mana ia terpakai di Sarawak.
Langkah itu menyusuli tindakan Petronas pada Januari yang memohon penjelasan mengenai kerangka undang-undang dan kawal selia yang mengawal operasinya di Sarawak.
Dengan kedua-dua pihak kini berada di mahkamah tertinggi negara, isu ini tidak lagi sekadar melibatkan lesen atau pertindihan peraturan.
Ia kini menyentuh soal kuasa ke atas minyak dan gas luar pesisir, kedudukan kuasa itu dalam sistem persekutuan Malaysia, serta sama ada struktur komersial yang dibina sekitar Petronas boleh terus kekal.
Implikasinya besar. Sepanjang lima dekad, Petronas telah menjana lebih RM2 trilion hasil, menjadikan sebarang perubahan kepada kerangka undang-undang ini memberi kesan bukan sahaja kepada Sarawak, tetapi juga ekonomi negara.
Tuntutan Sarawak untuk peranan lebih besar
Bagi rakyat Sarawak, isu ini dilihat sebagai soal hak, sempadan dan kawalan terhadap sumber yang sejak sekian lama dianggap milik negeri.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata undang-undang persekutuan berkenaan menjejaskan sempadan Sarawak sebelum penubuhan Malaysia serta hak negeri terhadap sumber petroleum dalam kawasan itu.
Beliau menegaskan negeri berhak melindungi kepentingan sah Sarawak dan rakyatnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan Sarawak juga berhujah isu perlembagaan itu bukan sekadar simbolik. Keputusan muktamad akan memberi kejelasan kepada pelabur dalam sektor huluan dan hiliran, khususnya apabila kepastian peraturan amat penting.
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata usaha Sarawak untuk memperluas peranannya didorong oleh keinginan untuk membentuk dasar mengikut keperluan sendiri.
“Kita mahu kawalan ke atas minyak dan gas. Petronas tidak perlu terlalu bimbang. Kita tidak berniat untuk menjejaskan Petronas. Mengapa kita mahu memusnahkannya?” katanya.
Isu telah lama berlarutan
Kes yang kini dibawa ke Mahkamah Persekutuan sebenarnya sebahagian daripada perdebatan yang telah lama wujud merentas spektrum politik.
Pemimpin di Malaysia Timur dan Barat berulang kali mengingatkan pertikaian mengenai kawalan perlu diimbangi dengan kepentingan mengekalkan sistem petroleum nasional.
Seawal 2024, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin memberi amaran supaya tidak melemahkan syarikat minyak negara.
“Jangan sampai kita membunuh ‘itik yang bertelur emas’, kerana jika Petronas rugi, Sarawak juga akan terkesan,” katanya.
Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof pula berkata cabaran undang-undang Sarawak kini melangkaui sekadar penjelasan susunan sedia ada, malah mempertikaikan Akta Kemajuan Petroleum itu sendiri.
“Petronas dan Sarawak perlu berbincang untuk mencari penyelesaian terbaik — situasi menang-menang, bukan menang kalah,” katanya.
Ahli Parlimen Tampin Isam Mohd Isa pula menegaskan Petronas tidak wajar dilemahkan sehingga menjejaskan pembangunan negara atau keyakinan pelabur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud berkata kedua-dua negeri mungkin memilih pendekatan berbeza dalam membangunkan sektor minyak dan gas, namun industri nasional mesti kekal kukuh.
Beliau turut memberi amaran pertikaian berpanjangan boleh membawa kesan lebih luas.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pula berkata kebimbangan Sarawak masih boleh ditangani tanpa meruntuhkan institusi nasional yang dibina sejak sekian lama.
Struktur dan kedaulatan
Penganalisis berkata risiko yang timbul bukan sekadar ekonomi.
Perunding minyak dan gas Samirul Ariff Othman berkata isu itu juga melibatkan keupayaan Malaysia mengekalkan struktur industri yang membolehkannya kekal berdaya saing dan menjamin keselamatan tenaga.
“Malaysia tidak mempunyai rizab besar. Sumber ada hanya bernilai jika diurus secara bersama melalui satu syarikat nasional yang mempunyai kekuatan kewangan, kepakaran dan kredibiliti,” katanya.
Beliau menambah isu kawalan dan pengagregatan turut menjejaskan kestabilan bekalan domestik, keyakinan pelabur dan daya maju projek gas dalam jangka panjang.
Penganalisis politik Azmi Hassan berkata pertikaian itu menjadi lebih sensitif apabila melibatkan pelantar benua.
“Undang-undang antarabangsa hanya mengiktiraf negara sebagai pihak yang mempunyai hak ke atas pelantar benua dalam lingkungan 200 batu nautika serta zon ekonomi eksklusif,” katanya.
Beliau memberi amaran sebarang perubahan yang dilihat mencabar kuasa persekutuan ke atas zon maritim boleh menarik perhatian negara jiran.
Perdebatan semakin tegang
Apabila pertikaian semakin melebar, nada perbincangan politik juga menjadi lebih keras.
Nanta memberi amaran pertelingkahan berterusan boleh menjejaskan perpaduan nasional, mencerminkan kebimbangan bahawa perbezaan antara Malaysia Timur dan Barat mungkin semakin ketara.
Ada pihak melihat tindakan mahkamah itu sebagai cabaran terhadap hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963, namun Premier Sarawak Abang Johari Openg menyifatkannya sebagai langkah undang-undang untuk mendapatkan kejelasan, bukan konfrontasi.
Isam pula berkata proses mahkamah tidak seharusnya dilihat sebagai usaha menafikan hak mana-mana pihak, tetapi sebagai ruang memperjelas perjanjian.
Seruan pendekatan rasional
Walaupun kes kini berjalan, ramai berpendapat keputusan mahkamah sahaja tidak akan menyelesaikan semua isu.
Mahkamah boleh menentukan tafsiran undang-undang, tetapi tidak dapat menyelesaikan ketegangan asas termasuk tuntutan Sarawak untuk bahagian hasil petroleum yang lebih besar dan peranan lebih luas dalam pengurusan sumber.
Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah berkata proses undang-undang tidak menghalang rundingan berterusan antara Putrajaya dan Sarawak.
“Biarlah mahkamah membuat keputusan… tetapi semua pihak perlu bertenang. Ini melibatkan sistem persekutuan, kelangsungan Petronas dan masa depan negara,” katanya.
Bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah juga berpendapat pertikaian tidak seharusnya terus dibawa ke mahkamah jika masih ada ruang penyelesaian secara politik.
Mustapha turut berkongsi pandangan sama, menekankan perbezaan pendekatan perlu diurus dengan baik supaya industri nasional terus terpelihara.
Kesimpulannya, cabaran utama kini ialah sama ada Malaysia mampu mengimbangi tuntutan negeri, mengekalkan kerangka nasional industri minyak dan gas.
Paling penting mengelakkan pertikaian ini daripada berkembang menjadi perpecahan yang lebih besar dalam persekutuan.