Usaha diplomasi Malaysia dalam isu Iran wajar diberi kredit, kata PM

Usaha diplomasi Malaysia dalam isu Iran wajar diberi kredit, kata PM

Ketegasan kerajaan termasuk bantah serangan AS, Israel bantu perkukuh hubungan diplomatik negara, buka laluan Selat Hormuz untuk Malaysia, kata Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim
PM Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa bukan semua negara mampu setegas Malaysia dalam soal perang Iran, jadi usaha itu harus diberi kredit. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar usaha kerajaan memperkukuh hubungan diplomatik serta menyuarakan pendirian tegas dalam isu melibatkan Iran dan konflik di Gaza diberi kredit, bukannya dipertikai oleh pihak tertentu.

Hal ini kerana ketegasan kerajaan termasuk pendirian membantah serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran telah membantu memperkukuh hubungan diplomatik negara, sekali gus membolehkan kapal Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz, katanya.

“Ingat senang nak pujuk presiden Iran untuk kapal kita lalui Selat Hormuz? Saya tidak katakan kerajaan dulu tidak baik dengan Iran, tetapi tidak sepertimana yang kita ada sekarang. Kita boleh telefon berulang kali, kita boleh usulkan di Parlimen bantah serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.

“Cuba tengok berapa negara di dunia buat kenyataan setegas Malaysia lakukan dalam soal perang Iran, berilah sedikit kredit, ini pembangkang tak beri kredit, jadi ingat senang?” kata beliau ketika berucap pada Konvensyen PKR Johor hari ini.

Turut hadir, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, Naib Presiden PKR R Ramanan dan Ketua PKR Johor Dr Zaliha Mustafa.

Perdana menteri berkata, beliau kecewa apabila pembangkang seolah-olah tidak menghargai usahanya selama ini, malah pada masa sama sering memainkan isu pertemuan beliau dengan Presiden AS Donald Trump, termasuk di dalam kenderaan rasmi presiden ‘The Beast’.

“Betul, saya runding, tetapi saya tidak mengorbankan kepentingan negara ini, saya berunding di dalam ‘The Beast’ itu dengan Donald Trump, saya tidak apologetik,” katanya.

Sebaliknya, katanya, beliau sempat memberitahu Trump bahawa beliau ada bertemu dengan pemimpin Hamas bagi menekankan penderitaan rakyat Palestin, termasuk anak-anak yang terkorban akibat serangan berterusan, serta tanah mereka yang dirampas.

“Saya cakap semua ini, beritahu Trump, saya buat kerana saya datang daripada semangat reformasi keadilan. Kita ada ramai pemimpin yang cakap hebat, tetapi ada yang berani berdepan begitu?” soalnya.

Anwar berkata, beliau turut menyampaikan mesej serupa kepada presiden AS sebelum ini, Joe Biden, termasuk mengkritik perkara yang disifatkan sebagai sikap hipokrasi Barat serta penindasan berterusan dan penjajahan di Gaza.

Katanya, tindakan itu sekali gus mencerminkan dasar dan prinsip reformasi yang dipegang oleh negara sehingga Malaysia kini dikenali sebagai antara negara yang berani menyuarakan pendirian tegas dalam isu geopolitik dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.