Rafizi wajib berundur, kata pemimpin PKR

Rafizi wajib berundur, kata pemimpin PKR

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR A Kumaresan menuduh Rafizi Ramli bersikap angkuh dan melemahkan parti dari dalam.

A Kumaresan berkata pemimpin yang ikhlas dengan perjuangan PKR tidak akan mengugut parti demi kepentingan politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR menggesa Rafizi Ramli supaya berundur dari parti sekiranya beliau merasakan boleh menyumbang lebih baik dari luar platform itu,

Ahli Majlis Pimpinan Pusat A Kumaresan turut menuduh bekas timbalan presiden parti itu cuba melemahkan PKR dari dalam.

Adun Batu Uban itu berkata Rafizi bersikap angkuh dan cuba mengugut apabila menyatakan beliau akan menjadi lebih lantang serta ‘berbahaya’ kepada parti jika disingkirkan.

Tegasnya, tiada pemimpin yang benar-benar ikhlas memperjuangkan PKR akan mengugut parti demi kepentingan politik, malah menyifatkan tindakan Rafizi sebagai ‘sabotaj dalaman’.

“Ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedang memimpin kerajaan menghadapi cabaran ekonomi global, Rafizi pula memilih untuk berpolitik murahan dengan menyerang kepimpinan PKR secara terbuka.

“Ini bukan keberanian, sebaliknya satu sikap tidak bertanggungjawab yang boleh melemahkan parti dan kerajaan di mata rakyat,” katanya dalam kenyataan.

“Hanya satu langkah wajar diambil, Rafizi wajib berundur.”

Semalam, Rafizi dilaporkan memberi amaran terhadap gesaan supaya beliau meninggalkan PKR, dengan menyatakan ia akan membolehkannya menjadi lebih lantang dan “berbahaya” kepada parti.

Ahli Parlimen Pandan itu secara terbuka mengkritik kerajaan dan PKR sejak kalah dalam pemilihan jawatan timbalan presiden parti serta melepaskan jawatan sebagai menteri ekonomi pada Mei tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.