
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata penetapan tarikh cuti tambahan itu bagaimanapun tertakluk kepada tarikh pengisytiharan 1 Syawal kelak.
Katanya, jika Aidilfitri disambut pada Jumaat atau 20 Mac, kerajaan akan menetapkan Isnin (23 Mac) sebagai cuti tambahan.
“Sebaliknya, kalau Hari Raya jatuh pada Sabtu (21 Mac), maka cuti tambahan adalah pada Jumaat (20 Mac),” katanya ketika berucap merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Kota Kinabalu, menurut Bernama.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali serta Timbalan Menterinya Fuziah Salleh.
Anwar berkata, keputusan kerajaan mengumumkan pemberian cuti tambahan itu lebih awal bertujuan memudahkan rakyat di seluruh negara merancang perjalanan masing-masing.
“Kita beri cuti Aidilfitri ini kerana lihat semua sudah kerja kuat pada bulan Ramadan ini, raikan Aidilfitri ini dengan penuh ceria bersama dengan keluarga tercinta,” katanya.
Beliau turut mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026 selama 15 hari, bermula 14 Mac, yang meliputi tempoh tujuh hari sebelum dan tujuh hari selepas perayaan bagi memastikan kestabilan harga barangan keperluan.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mengenal pasti jenis barangan yang dikawal mengikut lokasi, iaitu 24 barangan di Semenanjung, 23 barangan di Sabah dan Sarawak serta 22 barangan di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Anwar juga berkata, terdapat sedikit cabaran kenaikan harga melibatkan cili merah berikutan gangguan bekalan susulan banjir besar yang melanda negara pengeksport iaituThailand.
Sehubungan itu, perdana menteri menasihati pengguna mempertimbangkan penggunaan cili kering sebagai alternatif sementara kementerian memperinci senarai barangan kawalan.