Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Rosmah singkir hakim

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Rosmah singkir hakim

Perbicaraan rayuan telah ditangguhkan kepada 3 Mac, berikutan ketidakhadiran Rosmah Mansor dari mahkamah selepas diberikan cuti sakit.

Rosmah Mansor
Rosmah Mansor, yang disabitkan tiga kesalahan rasuah lebih RM200 juta berhubung projek hibrid solar di Sarawak, memohon perbicaraan semula kes itu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Rosmah Mansor supaya dua hakim menarik diri daripada mendengar rayuan kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya, namun menangguhkan prosiding ke Selasa selepas beliau diberikan cuti sakit.

Rosmah, isteri kepada bekas perdana menteri Najib Razak, memohon mahkamah tertinggi itu membatalkan pelantikan hakim bicara Zaini Mazlan serta mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya tiga tahun lalu.

Hakim Nordin Hassan yang mengetuai panel tiga hakim berkata tiada risiko sebenar berlakunya berat sebelah yang boleh mewajarkan penarikan diri tersebut.

“Kami mempunyai tanggungjawab untuk menyelesaikan kes rayuan,” katanya.

Pada permulaan prosiding hari ini, peguam utama pembelaan Jagjit Singh memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya tidak selesa dengan kehadiran Nordin dan Hakim Ruzima Ghazali dalam panel, kerana kedua-duanya pernah mendengar rayuan berkaitan kes itu.

Kedua-dua hakim sebelum ini menolak rayuan Rosmah untuk menyingkirkan peguam Gopal Sri Ram, yang bertindak sebagai pendakwa ad hoc dalam kes tersebut sebelum meninggal dunia pada Januari 2023.

Nordin berkata Jagjit, sebagai peguam kanan, sepatutnya menasihati anak guamnya bahawa permohonan itu tidak berasas.

Jagjit kemudian memohon penangguhan, dengan menyatakan Rosmah, 74, diberi cuti sakit dari Selasa hingga Sabtu minggu ini selepas mengalami kecederaan pada lutut dan bahu kanan ketika berada di rumah dua hari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya K Mangai, dibantu Ng Siew Wee dan P Sarulatha, tidak membantah penangguhan itu.

Nordin menetapkan pendengaran pada 3 Mac, menolak permintaan Jagjit untuk tarikh lain atas alasan peguam pembelaan tidak dapat hadir.

“Ini kes berkepentingan awam dan mempunyai keutamaan yang telah tertangguh terlalu lama. Kami mahu menyelesaikan perkara ini secepat mungkin,” katanya.

Turut menganggotai panel rayuan ialah Hakim Azimah Omar.

Turut mewakili Rosmah bersama Jagjit ialah peguam Akberdin Abdul Kader, Firuz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Amer Hamzah Arshad.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah dan mengekalkan keputusan Zaini bahawa tiada alasan sah untuk beliau menarik diri daripada terus mendengar kes itu.

Pada 1 Sept 2022, Zaini, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menolak permohonan saat akhir Rosmah untuk menghalangnya daripada mengendalikan kes tersebut.

Permohonan itu dibuat selepas Rosmah mendakwa hilang keyakinan terhadap Zaini berikutan draf penghakiman yang didakwa diterbitkan oleh penulis blog, Raja Petra Kamarudin, sebelum tarikh keputusan diumumkan.

Zaini kemudian mensabitkan Rosmah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu memperoleh projek solar tersebut.

Beliau juga disabitkan menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016, serta RM1.5 juta lagi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Zaini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan itu, namun memerintahkan hukuman dijalankan serentak. Beliau juga mengenakan denda RM970 juta.

Mahkamah memutuskan bahawa Rosmah akan menjalani tambahan 10 tahun penjara selepas tempoh hukuman asal sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.