Agong berkenan kurnia surat cara pelantikan kepada 14 hakim

Agong berkenan kurnia surat cara pelantikan kepada 14 hakim

Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada 17 Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada 14 hakim di Istana Negara hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada 14 hakim di Istana Negara, di sini.

Istiadat berkenaan dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan kepada Ravinthran Paramaguru dan Azmi Ariffin.

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada enam Hakim Mahkamah Rayuan, iaitu Amarjeet Singh Serjit Singh, Mohd Radzi Harun, Aliza Sulaiman, Ahmad Shahrir Mohd Salleh, Dean Wayne Daly dan Latifah Mohd Tahar.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong turut mengurniakan surat cara pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi kepada enam individu, iaitu Suzana Muhamad Said, Yusrin Faidz Yusoff, Arziah Mohamed Apandi, Hazizah Kassim, Gan Techiong dan Suriyati Hasimah Mohd Hashim.

Istiadat berkenaan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.

Turut hadir Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad.

Pada istiadat berasingan, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada 17 Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Antara ahli MAINPP itu ialah Yang Dipertua MAINPP Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Yang Dipertua MAINPP Ahmad Shaziy Ismail Bakti, Setiausaha Kerajaan Negeri Zulkifli Long dan Penasihat Undang-Undang Negeri Wan Nor Sakina Saad.

Turut menerima surat cara pelantikan ialah Pegawai Kewangan Negeri Zairi Mat Ali, Mufti Pulau Pinang Mohd Sukki Othman, Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail serta Pegawai Agama Istana Negara Munir Md Salleh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.