Mahkamah Persekutuan putus hukuman sebat pesalah berperlembagaan

Mahkamah Persekutuan putus hukuman sebat pesalah berperlembagaan

Ketua Hakim NegaraWan Ahmad Farid Wan Salleh berkata Parlimen yang akhirnya tentukan keberkesanan moral atau kesesuaian sosial sesuatu hukuman.

istana kehakiman Federal Court
Tiga banduan memohon kepada Mahkamah Persekutuan supaya hukuman sebatan terhadap mereka diketepikan, dengan alasan ia melanggar hak perlembagaan mereka di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa hukuman sebatan terhadap lelaki di bawah undang-undang jenayah adalah berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berkata undang-undang yang memperuntukkan hukuman sebatan, termasuk Akta Dadah Berbahaya dan Kanun Keseksaan, akan terus berkuat kuasa melainkan Parlimen memutuskan sebaliknya.

“Pada akhirnya, Parlimen yang menentukan keberkesanan moral atau kesesuaian sosial sesuatu hukuman.

“Doktrin pengasingan kuasa menetapkan bahawa bukan peranan mahkamah untuk menggantikan pertimbangan moral subjektif mereka dengan pilihan dasar yang telah dibuat oleh badan perundangan,” katanya dalam penghakiman majoriti yang menolak permohonan semakan oleh tiga banduan yang disabitkan kesalahan.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi bersetuju dengan Wan Ahmad Farid, manakala Hakim Lee Swee Seng menentang.

Dalam permohonan, banduan – J Sivachandran, Helmi Anuar Kasim dan A Kumanaan – memohon agar hukuman sebatan terhadap mereka diketepikan, dengan alasan hukuman itu melanggar hak perlembagaan mereka di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Wan Ahmad Farid berkata peruntukan sebatan mandatori merupakan pelaksanaan kuasa perundangan yang seimbang dan berkadar, kerana ia memenuhi kepentingan awam yang sah melalui kesan pencegahan dalam rangka hukuman yang rasional, adil dan dikawal selia dengan ketat.

“Cabaran di bawah Perkara 8 tidak dapat dipertahankan kerana pemohon gagal membuktikan bahawa pengecualian wanita daripada hukuman sebatan adalah semata-mata berasaskan diskriminasi jantina,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa tiada bukti perubatan dikemukakan di mahkamah untuk menunjukkan kematian Zaidi Abdul Hamid di penjara Pokok Sena pada 2024 berpunca daripada sebatan.

“Walau apa pun, pemohon gagal mengemukakan sebarang bukti perubatan bahawa hukuman sebatan, jika dilaksanakan terhadap mereka, akan menimbulkan risiko kematian dan seterusnya menafikan hak mereka untuk hidup,” tambahnya.

Dalam penghakiman berbeza, Lee membatalkan undang-undang yang membenarkan sebatan, dengan menyifatkan hukuman itu sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan serta menjejaskan maruah banduan.

“Hak perlembagaan banduan tidak digantung atau dimansuhkan, kecuali kebebasan bergerak mereka,” katanya.

Tambah Lee, Malaysia terikat dengan norma antarabangsa, dengan merujuk Perkara 5 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang menyatakan bahawa ‘tiada seorang pun boleh dikenakan penyeksaan atau layanan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah’.

Beliau juga merujuk kes di mana banduan yang dikenakan sebatan menjadi berkerusi roda atau meninggal dunia akibat septisemia, sambil menambah bahawa banduan sering tidak menerima rawatan perubatan yang mencukupi dan ditahan dalam keadaan tidak bersih.

Sivachandran dijatuhi hukuman mati kerana membunuh, manakala Helmi dan Kumanaan dijatuhi hukuman mati kerana mengedar dadah.

Mahkamah Persekutuan menyemak semula hukuman mereka kepada penjara 30 tahun setiap seorang pada 2024. Mahkamah turut memerintahkan Helmi dan Kumanaan menerima 24 sebatan rotan setiap seorang bagi dua kesalahan pengedaran, manakala Sivachandran dikenakan 12 sebatan.

Semakan itu dibuat di bawah undang-undang peralihan yang digubal pada 2023 susulan pemansuhan hukuman mati mandatori oleh Parlimen.

Pemohon turut merujuk kes Zaidi, yang sedang menjalani hukuman penjara 33 tahun kerana membunuh tetapi meninggal dunia akibat ‘komplikasi septik susulan trauma tumpul di bahagian punggung’ selepas disebat pada 25 Sept
2024.

Ketiga-tiga mereka memfailkan semakan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Peguam N Surendran dan Rajesh Nagarajan mewakili pemohon, manakala timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz dan Fuad Abdul Aziz mewakili pihak pendakwaan.

Peguam M Athimulan, yang mewakili Majlis Peguam sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah), berhujah bahawa hukuman sebatan bersifat diskriminasi kerana wanita dikecualikan daripada hukuman tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.