Kemelut PN hanya ‘asam garam’, matangkan gabungan, kata PAS Perak

Kemelut PN hanya ‘asam garam’, matangkan gabungan, kata PAS Perak

Idris Ahmad berkata, gabungan pembangkang mampu satukan sokongan rakyat bawah kepimpinan teknokrat Ahmad Samsuri Mokhtar.

Idris Ahmad
Pesuruhjaya PAS Perak Idris Ahmad Idris seru jentera PAS setiap peringkat agar taat kepada kepimpinan baharu, lipat ganda kerja untuk pastikan kemenangan rakyat pada PRU16.
PETALING JAYA:
PAS Perak menegaskan kemelut melanda Perikatan Nasional (PN) termasuk proses peralihan kepimpinan sebelum ini hanya ‘asam garam’ yang kini mematangkan gabungan itu di bawah kepimpinan baharu Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Segala ujian ini tidak sedikit pun melemahkan semangat, malah mematangkan lagi kerjasama antara parti komponen demi kelangsungan agenda penyatuan ummah,” kata Pesuruhjaya PAS Perak Idris Ahmad dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Idris menggesa gabungan itu agar segera mengalihkan tumpuan daripada isu dalaman, sebaliknya meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan tertinggi.

“Rakyat sedang memerhati dan menaruh harapan tinggi. Justeru PN komited untuk menjadi alternatif terbaik yang fokus kepada penyelesaian masalah kos sara hidup dan kestabilan ekonomi, bukannya terjebak dalam politik remeh,” katanya.

Berhubung pelantikan menteri besar Terengganu sebagai pengerusi PN yang baharu, Idris menyifatkan langkah itu sebagai ‘anjakan strategik’ bagi memperkukuh saf perjuangan blok pembangkang menjelang PRU16.

Beliau berkata, gabungan itu diyakini mampu menyatukan sokongan rakyat yang mahukan pentadbiran berintegriti serta pejuang kedaulatan Islam dan tanah air, bawah pemimpin teknokrat seperti Samsuri.

Justeru, Idris menyeru jentera parti itu pada setiap peringkat agar ‘memberikan ketaatan kepada kepimpinan baharu, serta melipatgandakan kerja buat bagi memastikan kemenangan rakyat pada PRU16 nanti’

Samsuri yang juga naib presiden PAS dilantik sebagai pengerusi PN dalam mesyuarat luar biasa majlis tertinggi gabungan yang bersidang semalam.

Perkembangan ini sekaligus menamatkan teka-teki berhubung kekosongan jawatan itu, susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang berkuat kuasa pada 1 Jan.

Isu-isu yang timbul berhubung pengisian jawatan itu sebelum ini berkisar penegasan beberapa pihak bahawa jawatan pengerusi PN harus disandang oleh presiden parti, serta dakwaan bahawa parti-parti komponen seperti Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) menentang cadangan pemimpin PAS menjadi pengerusi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.