
Beliau berkata, sikap hanya mendekati BN ketika susah tetapi menjauhkan diri apabila sudah selesa bukanlah cerminan rakan politik yang setia.
“Apabila sesak cari kita, bila ‘comfortable’ (selesa) lupakan kita, itu bukan kawan, itu bukan setia namanya, itu ambil kesempatan.
“Umno dan BN tidak akan berkawan dengan orang yang hanya tahu mengambil kesempatan,” kata presiden Umno itu ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), yang turut dihadiri Presiden Kimma Syed Ibrahim Kader dan Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir.
Zahid menegaskan kesetiaan dalam sesebuah gabungan politik perlu dizahirkan secara konsisten tanpa bersikap berubah-ubah mengikut keadaan.
“Kita mesti berbunyi kesetiaan di belakang sama, di depan sama, siang sama, malam sama. Itu baru nama setia,” katanya.
Menurutnya, tindakan keluar masuk gabungan atau menukar pendirian politik secara kerap hanya mencerminkan sikap tidak berprinsip.
“Bukan sekejap nak keluar, sekejap nak masuk parti orang lain, kemudian patah balik,” katanya tanpa menujukannya kepada mana-mana individu atau parti tertentu.
“Bersama-samalah dengan kita. Jangan rasa ragu-ragu, jangan rasa tergugat, setialah, ikhlaslah jangan khianat.”
Sementara itu, mengulas status MIC dalam BN, Zahid dalam sidang media menegaskan MIC kekal sebagai parti teras dalam gabungan itu dan tidak pernah menyatakan hasrat untuk keluar secara rasmi.
Katanya, meskipun timbul dakwaan mengenai surat yang dikaitkan dengan permohonan menyertai gabungan lain, parti itu sendiri telah menafikan perkara berkenaan.
“Walaupun ada surat yang telah dihantar kepada PN, mereka menafikan bahawa mereka pernah memohon untuk menyertai parti berkenaan, walaupun ada surat memperlihatkannya begitu,” katanya.
Bulan lepas, Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata, parti itu akan kekal dalam BN buat masa ini, namun pada masa sama masih berteka-teki sama ada akan menyertai gabungan pembangkang selepas ini.
Saravanan berkata, perkembangan dalam PN memerlukan parti itu menilai semula kedudukannya, namun tidak menolak gabungan itu secara mutlak.
Beliau berkata demikian seminggu selepas menafikan dakwaan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan bahawa parti itu secara rasmi telah menyertai gabungan tersebut.