
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata mangsa berusia 57 tahun yang membuat laporan polis semalam sebelum itu melihat iklan pelaburan saham dikenali sebagai ‘Bookmap Malaysia’ di Facebook pada 3 November lalu.
Katanya, suspek kemudiannya menawarkan skim pelaburan kepada mangsa dengan menjanjikan keuntungan 30% dengan modal minimum RM10,000.
“Bagi meyakinkan mangsa, suspek mengarahkan mangsa untuk memuat turun satu aplikasi pelaburan dikenali `BM-max’ melalui pautan yang diberikan menerusi WhatsApp.
“Bermula dari 9 Januari hingga 11 Februari lalu, mangsa membuat sebanyak empat transaksi pindahan wang kepada empat akaun bank berbeza yang keseluruhannya berjumlah RM636,123.
“Mangsa dikatakan menggunakan wang simpanan dan pinjaman,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Yahaya berkata mangsa kemudiannya ditunjukkan keuntungan kononnya mencecah RM1.84 juta termasuk komisen pelaburan.
“Mangsa yang berasa tertipu membuat laporan polis. Orang ramai juga dinasihatkan merujuk pihak polis sebelum terlibat dalam pelaburan meragukan,” katanya.
Orang ramai boleh menyemak nombor akaun di semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi.