
Sebagai pembuka tirai cabutan tahun ini, Normila Hussain dari Shah Alam diumumkan sebagai pemenang kategori cabutan jutawan utama, membawa pulang hadiah wang tunai RM1 juta.
Bank Rakyat turut menyampaikan hadiah emas berjumlah 900 gram kepada beberapa pemenang lain, termasuk Qamarul Nazrin Harun dari Nilai yang memenangi emas seberat 500 gram serta empat pemenang lain yang masing-masing menerima 100 gram emas.
Tiga lagi pelanggan, iaitu Siti Azimah Awang dari Beaufort, Siti Nor Adzila Ayob dari Bahau dan Nur Diana Kamis dari Jasin, menerima ganjaran Pendapatan Dividen Anuiti selama lima tahun.
Ketua Pegawai Kewangan Bank Rakyat Nor Haimee Zakaria berkata struktur ganjaran baharu itu mencerminkan komitmen bank berkenaan untuk menggalakkan budaya menyimpan dan melabur secara konsisten dalam kalangan masyarakat.
“Melalui Rizq Plus, kami bukan sahaja menawarkan peluang pelaburan patuh Syariah serendah RM100, malah menyediakan ganjaran bermakna kepada pelanggan,” katanya.
Menurutnya, kempen Rizq Plus 2026 melibatkan 15 kategori cabutan bertuah sepanjang tahun, termasuk beberapa kategori baharu seperti Xclusive Platinum, Rizq 50+, Wanita, Belia, Anggota Bank Rakyat dan Pelabur Baharu bagi memastikan peluang lebih inklusif.
Sehingga Disember lalu, Rizq Plus merekodkan lebih 203,000 akaun dengan nilai pelaburan melebihi RM939 juta.
Bank Rakyat menyasarkan nilai itu meningkat kepada RM2.5 bilion pada 2026 selaras dengan strategi pertumbuhan mampannya.