Bank Rakyat pertahan penamatan bekas CEO YBR

Bank Rakyat pertahan penamatan bekas CEO YBR

Bank Rakyat kata keputusan melibatkan pengurusan Yayasan Bank Rakyat dilaksanakan melalui proses sewajarnya.

Bank Rakyat harap semua pihak dapat menghormati perjalanan proses mahkamah yang sedang berlangsung. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bank Rakyat memaklumkan bahawa penamatan perkhidmatan bekas CEO Yayasan Bank Rakyat (YBR) Syaiful Rizal Abdul Ghani adalah mengikut prosedur dan lunas-lunas perundangan yang sah.

Menurut bank itu, sebarang keputusan melibatkan pengurusan YBR dilaksanakan melalui proses sewajarnya dan berlandaskan mandat serta kuasa yang diberikan oleh perundangan dan peraturan sedia ada.

“Bank Rakyat sentiasa mengutamakan prinsip tadbir urus korporat, integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap aspek pengurusan termasuk dalam peranan sebagai pengasas YBR,” menurut kenyataan.

Bank itu memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kenyataan tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.

Ia juga berharap semua pihak dapat menghormati perjalanan proses mahkamah yang sedang berlangsung.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Syaiful memfailkan saman terhadap YBR, menuntut ganti rugi lebih RM36 juta dan mahu mahkamah mengisytiharkan penamatan kontraknya tidak sah.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Jun lalu, Syaiful dan empat lagi plaintif mendakwa mereka dipecat secara mengejut, tanpa alasan yang sah dan tanpa mematuhi tatakelola pengurusan.

Plaintif lain ialah Mohd Mukhti Abd Rahman (ketua bahagian operasi), Mohamad Ghazali Zainal Abidin (ketua sekretariat), Khairul Na’im Aripan @ Arifin (ketua bahagian pentadbiran korporat), dan Muhamad Johary Abdul Jalil (pengurus jabatan sumber manusia dan pentadbiran).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.