Bank Rakyat lancar pembiayaan perumahan fleksibel Mortgage Suite-i

Bank Rakyat lancar pembiayaan perumahan fleksibel Mortgage Suite-i

Margin pembiayaan sehingga 120% bantu rakyat miliki rumah dengan lebih mudah dan berpatutan.

Bank Rakyat lancar
Bank Rakyat lancar Mortgage Suite-i yang diyakini mampu menjadi pemangkin kepada lebih ramai rakyat memiliki rumah dengan lebih mudah. (Gambar Bank Rakyat)
PETALING JAYA:
Bank Rakyat melancarkan pembiayaan perumahan baharu dikenali sebagai Mortgage Suite-i bagi membantu lebih ramai memiliki kediaman sendiri dengan lebih mudah dan berpatutan.

Produk patuh Syariah itu menawarkan penyelesaian kewangan lengkap melalui dua pilihan utama iaitu pembiayaan baharu serta pembiayaan semula, bergantung kepada keperluan pelanggan sama ada ingin membeli rumah pertama, meningkatkan kediaman sedia ada atau menyusun semula kewangan.

Ketua Pegawai Perbankan Runcit Bank Rakyat Khairudin Abdul Rahman berkata produk itu menandakan langkah penting bank dalam memperkukuh kedudukan sebagai institusi perbankan koperasi Islam pilihan rakyat.

“Dengan margin pembiayaan sehingga 120% dan kadar keuntungan kompetitif, kami yakin Mortgage Suite-i mampu menjadi pemangkin kepada lebih ramai rakyat memiliki rumah dengan lebih mudah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata margin pembiayaan tinggi itu turut merangkumi kos tambahan seperti pengubahsuaian rumah, pembelian perabot dan pembiayaan pendidikan, yang sekali gus membantu pelanggan mengurus keperluan kewangan mereka secara menyeluruh.

“Produk ini bukan sekadar membantu pelanggan memiliki rumah impian, tetapi juga menyokong perancangan kewangan jangka panjang mereka,” katanya.

Pelancaran Mortgage Suite-i diadakan serentak dengan Mini Karnival Rumah Impian yang berlangsung pada 30 dan 31 Oktober di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.

Karnival itu menampilkan pameran hartanah, perabot, reka bentuk dalaman, peralatan rumah pintar serta trak makanan. Antara rakan strategik yang terlibat termasuk Sime Darby Property, S P Setia, UDA Land, MK Land, dan beberapa pengendali takaful.

Pengunjung juga berpeluang memohon produk lain seperti pembiayaan peribadi InstaCash dan Kad Kredit-i selain mendapatkan khidmat rundingan kewangan secara terus daripada pegawai bank.

Bank Rakyat berkata pelancaran Mortgage Suite-i mengukuhkan komitmen mereka untuk memperluas akses kepada pembiayaan perumahan patuh Syariah serta menyokong agenda pemilikan rumah di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.