SPRM kerjasama dengan SFO UK siasat transaksi RM2.5 bilion berkait IJM

SPRM kerjasama dengan SFO UK siasat transaksi RM2.5 bilion berkait IJM

Kedua-dua agensi dalam proses pertukaran maklumat, belum babit bukti, kata Azam Baki.

azam baki
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, siasatan kes mungkin ambil masa kerana SPRM juga tunggu hasil siasatan pihak berkuasa UK. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama dengan Pejabat Penipuan Serius United Kingdom (SFO UK) dalam siasatan berterusan melibatkan IJM Corporation Bhd berhubung transaksi kewangan dan pelaburan di luar negara bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, kedua-dua agensi sedang bekerjasama rapat dan dikehendaki mematuhi prosedur tertentu dalam proses pengumpulan maklumat dan bukti.

“Saya tidak fikir ini akan menjadi masalah kerana setiap agensi mempunyai agenda sendiri dalam siasatan ini. Apa yang penting, kita perlu memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat.

“Sekarang kami sedang dalam proses pertukaran maklumat, bukannya bukti lagi. Pegawai-pegawai saya kini sedang berkomunikasi dengan SFO,” katanya pada sesi khas bersama media hari ini.

Beliau berkata, siasatan kes mungkin mengambil masa kerana SPRM juga menunggu hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa di UK.

“Dana yang dilaburkan, kira-kira RM2.5 bilion di UK, mungkin mempunyai isu di negara itu, termasuk kemungkinan melanggar undang-undang pencegahan pengubahan wang haram mereka.

“Jadi di sini, kita bukan sahaja menyiasat, malah memudahkan pihak berkuasa UK. Jadi ia mengambil sedikit masa,” katanya.

Ditanya mengenai peranan Pengerusi Bukan Eksekutif IJM Krishnan Tan, Azam berkata, SPRM akan menentukan sama ada sebarang kesalahan atau salah laku dilakukan termasuk kemungkinan penyalahgunaan dana syarikat.

Jumaat lepas, media melaporkan seorang eksekutif pengurusan tertinggi IJM Corporation Bhd berusia 70an ditahan untuk membantu siasatan SPRM berhubung isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan dan pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

SPRM juga sebelum ini membekukan 70 akaun bank persendirian serta akaun syarikat yang berkaitan, membabitkan jumlah kira-kira RM30.6 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.