Perbalahan Tiong-Sim ‘terlalu kecil’ untuk PBB campur tangan, kata penganalisis

Perbalahan Tiong-Sim ‘terlalu kecil’ untuk PBB campur tangan, kata penganalisis

Seorang lagi penganalisis jangka parti teras GPS itu akan campur tangan di sebalik tabir bagi selesai perseteruan Tiong King Sing daripada PDP dan Dr Sim Kui Hian daripada SUPP.

Pertelingkahan antara pemimpin GPS, Tiong King Sing dan Dr Sim Kui Hian, bermula sejak 2021, apabila Tiong dinamakan calon gabungan bagi Dudong, kawasan sekian lama menjadi kubu kuat SUPP.
PETALING JAYA:
Perbalahan berterusan antara pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tiong King Sing dan Dr Sim Kui Hian, disifatkan ‘terlalu kecil’ untuk memerlukan campur tangan parti teras gabungan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), kata seorang penganalisis.

Jayum Jawan dari Akademi Sains Malaysia, berkata perseteruan antara presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu tidak menjejaskan PBB, malah mungkin sesuatu yang ‘sihat’.

Jayum berkata, ia mungkin membawa kepada perwakilan yang lebih baik bagi pengundi di Dudong dan Bawang Assan, dua kerusi yang kini dipegang PDP dan menjadi punca utama perseteruan itu.

“Akhirnya, akar umbi di kedua-dua kawasan berkenaan akan menentukan sama ada mereka diwakili dengan lebih baik oleh SUPP atau PDP. Perkara ini terlalu kecil untuk PBB campur tangan. Ia tidak akan menjejaskan peranan dan kedudukan mereka dalam GPS,” katanya kepada FMT.

Namun, James Chin dari Universiti Tasmania, menjangkakan PBB akan campur tangan sebelum PRN akan datang — di belakang tabir.

“Mereka tahu bahawa sebarang publisiti berpanjangan mengenai perkara ini adalah buruk bagi GPS. Jadi, mereka mungkin akan campur tangan di sebalik tabir, tetapi bukan dalam masa terdekat. Mereka hanya akan melihat bagaimana keadaan ini berkembang sebelum PRN.”

Perseteruan keduanya bermula sejak PRN Sarawak 2021 apabila GPS menamakan Tiong sebagai calon bagi kerusi Dudong, kawasan yang telah dipegang SUPP selama beberapa dekad. Sim yang ‘terkejut’ membantah dan menegaskan perkara itu bukan seperti dipersetujui — namun akhirnya akur.

PDP kemudiannya memperoleh beberapa lagi kerusi apabila menambah ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam barisannya susulan pembubaran PSB. Ia termasuk kerusi Bawang Assan, dipegang bekas pemimpin SUPP, Wong Soon Koh sejak 1991.

SUPP cuba merampas semula Bawang Assan daripada Wong pada 2021, namun tewas dengan perbezaan 913 undi. Sejak itu, PDP menuduh SUPP merancang menuntut semula dua kerusi itu pada PRN akan datang.

Terbaharu, Tiong menuduh Sim ‘kemaruk kuasa’ selain mendakwa beliau campur tangan dalam pelantikan ketua masyarakat di Dudong.

PDP langsung tak rugi

Jayum berkata, PDP harus mencabar kerusi tersebut andai GPS menetapkan calon daripada SUPP untuk bertanding, dengan menyatakan PDP ‘langsung tidak rugi’ memandangkan kerusi berkenaan sememangnya bukan kerusi tradisi PDP sejak awal.

Beliau berkata, PDP merupakan parti terkecil dalam GPS — berdasarkan jumlah wakil Parlimen dan adun — dan memerlukan kerusi tersebut bagi memperkukuh kedudukannya dalam gabungan.

“Berdasarkan semua petanda, PDP tidak dilayan dengan baik memandangkan ia merupakan satu-satunya rakan kongsi GPS yang tidak mempunyai menteri penuh dalam kerajaan negeri,” katanya.

Jayum berkata, pertembungan sedemikian tidak mungkin mengganggu GPS secara keseluruhan mengambil kira kedudukan parti domina, PBB, kekal stabil. “Justeru, PDP boleh melemparkan ancaman dan ia tidak akan sampai ke tahap menggugat GPS.”

Sebaliknya, beliau berkata Sim akan dipaksa ‘membayar harga’ oleh akar umbi SUPP, sekiranya tidak cuba merampas semula dua kerusi itu daripada PDP.

“Sememangnya satu kesilapan apabila Sim membiarkan Dudong jatuh ke tangan PDP pada 2021.”

Meskipun begitu, Jayum dan Chin berkata, tiada mana-mana parti yang berani meninggalkan GPS sebagai tanda protes, berdasarkan cengkaman kuat gabungan itu dalam arena politik Sarawak. GPS menguasai 80 daripada 82 kerusi di DUN.

Chin menjangkakan Tiong akan terus berkeras supaya PDP bertanding di kerusi Dudong dan Bawang Assan, manakala SUPP pula dijangka meletakkan calon bebas untuk merampas semula atau mengganggu sekutu GPS mereka itu, walaupun secara tidak langsung.

“Kita tahu PDP sangat aktif di peringkat akar umbi dan Tiong bukanlah seseorang yang boleh dipermainkan. Jadi, jika SUPP mencabar Tiong, saya rasa kedua-duanya akan menimbulkan kerungsingan kepada kepimpinan GPS.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.