4 ketua bahagian Bersatu dipanggil Lembaga Disiplin

4 ketua bahagian Bersatu dipanggil Lembaga Disiplin

Aduan dikenakan ke atas mereka antaranya mendesak peralihan kuasa, mengkritik parti secara terbuka, dan mengarahkan ahli mengingkari arahan parti.

Ahmad Nasir Mid, Abdul Aziz Ismail, Zulkifli Bujang, and Ramlan Meon
(Dari kiri) Ahmad Nasir Mid, Abdul Aziz Ismail, Zulkifli Bujang, dan Ramlan Meon diarah menghadap Lembaga Disiplin secara berasingan pada 12 Feb.
PETALING JAYA:
Empat ketua bahagian Bersatu dipanggil menghadap Lembaga Disiplin susulan aduan mengenai tingkah laku yang dianggap menjejaskan perpaduan dan disiplin parti.

Lembaga itu mengeluarkan empat notis berasingan bertarikh 7 Feb terhadap Ahmad Nasir Mid (Selayang), Abdul Aziz Ismail (Dungun), Zulkifli Bujang (Johor Bahru), dan Ramlan Meon (Tangga Batu), di mana masing-masing dikaitkan dengan insiden berasingan, pada 2025.

Ahmad Nasir berdepan dua aduan, termasuk menyokong secara terang-terangan Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dan mendesak Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai presiden, menandatangani akuan berkanun (SD) menuntut transisi peralihan kuasa, dan didakwa berkomplot menjatuhkan presiden sambil menghasut ahli menjelang Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2024.

Abdul Aziz dituduh hadir dan terlibat secara langsung dalam program Jelajah Semarak dianjurkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang dipecat, Wan Saiful Wan Jan, pada 26 Okt 2025 di Melaka, di mana beliau dilaporkan membantah keputusan Lembaga Disiplin dalam satu ucapan.

Zulkifli didakwa mengarahkan perwakilan Johor Bahru melalui WhatsApp supaya memboikot ucapan penangguhan Muhyiddin semasa PAT 2025.

Ramlan dikatakan mengeluarkan kenyataan kepada portal dalam talian Politiko.my, yang menyerang Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz, sehingga berpotensi menyemai perpecahan dalam parti.

Semua empat ketua bahagian diarahkan hadir ke sesi pendengaran berasingan di ibu pejabat parti pada 12 Feb, dengan amaran jika gagal hadir boleh mengakibatkan tindakan di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.

Zulkifli dan Abdul Aziz mengesahkan penerimaan notis itu dan menyatakan mereka akan hadir.

FMT sudah menghubungi dua lagi pemimpin bahagian berkenaan untuk mendapatkan ulasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.