
Ketua Penerangan MIPP Justin Prabakaran berkata parti itu juga mengecam sebarang perhimpunan, kenyataan atau gerakan yang mengeksploitasi sentimen agama sehingga boleh mengancam keharmonian, keamanan dan kestabilan negara.
Katanya, melabelkan rumah ibadat sebagai ‘haram’ adalah satu tindakan yang menyentuh sensitiviti 3R (kaum, agama dan raja) dan berpotensi mencetuskan ketegangan serta perpecahan dalam masyarakat.
“MIPP memandang serius perkara ini dan menganggapnya sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“MIPP kekal komited dalam mempertahankan perpaduan nasional, keharmonian masyarakat serta kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga ketua Pemuda MIPP menegaskan bahawa banyak rumah ibadat yang dipersoalkan hari ini dibina jauh sebelum penguatkuasaan akta dan undang-undang sedia ada.
Justeru, katanya, pelabelan rumah ibadat sebagai ‘haram’ adalah tidak wajar, tidak tepat serta merupakan satu tindakan yang mengelirukan dan salah.
“MIPP berpandangan bahawa isu ini adalah isu perundangan dan pentadbiran, khususnya berkaitan kelulusan serta status tanah, yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Ia wajar ditangani melalui saluran undang-undang yang betul, berlandaskan prinsip keadilan dan tadbir urus yang baik, bukannya melalui retorik agama atau sentimen politik,” katanya.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan satu gabungan NGO merancang mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur Sabtu ini bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang dibina secara haram.
Protes aman tersebut dijadual diadakan berhampiran kompleks membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur bermula 8 malam, melibatkan kira-kira 141 NGO.