
“Ibu pejabat sedang lengkapkan semua fakta dan bukti perjalanan program di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, yang dianjurkan oleh segelintir pihak untuk menyokong individu yang mengisytiharkan presiden sebagai musuh nombor satunya.
“Semua maklumat ini akan dibentangkan dalam Biro Politik untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya dalam satu tangkap layar kumpulan Whatsapp Majlis Pimpinan Tertinggi yang tular..
Hamzah dalam perhimpunan itu melancarkan serangan terbuka terhadap presiden parti Muhyiddin Yassin pada Sabtu selepas dipecat oleh lembaga disiplin.
Hamzah berkata beliau pernah menjadi penyokong nombor satu Muhyiddin, tetapi kini menjadi ‘musuh nombor satunya’.
Bekas menteri dalam negeri itu merupakan antara 17 pemimpin Bersatu yang dipecat daripada parti di tengah-tengah krisis kepimpinan antara beliau dan Muhyiddin.
Azmin sebelum ini memberi amaran kepada ahli parti supaya tidak menyertai perhimpunan yang dianjurkan oleh mereka yang telah dipecat.
Beliau berkata adalah menjadi satu kesalahan untuk bersekongkol dengan pihak yang bertindak bertentangan dengan perlembagaan parti, atau membuat ‘kenyataan menghina’ yang boleh mencemarkan reputasi Bersatu.
“Sebarang pelanggaran terhadap peruntukan ini boleh mengakibatkan tindakan disiplin,” beliau dilaporkan berkata.
Dalam tangkap layar yang sama, terdapat pemberitahuan yang menyatakan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp berkenaan.
Mas Ermieyati, yang juga ketua Wanita Bersatu, hadir pada perhimpunan Sabtu lalu.
Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Chong Fat Full berkata beliau dimaklumkan bahawa Mas Ermieyati memang telah disingkirkan daripada kumpulan WhatsApp tersebut.
“Saya juga telah dikeluarkan daripada kumpulan itu lebih awal, tetapi saya masih mempunyai rakan dalam kumpulan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
FMT menghubungi Mas Ermieyati dan Azmin untuk mendapatkan komen.