
Ketua Bersatu Bahagian Pontian, Isa Ab Hamid berkata selain kehilangan kepercayaan, kepimpinan Sahruddin yang juga bekas menteri besar itu turut dipertikaikan.
“Sidang akhbar ini bukan untuk membuka pekung atau bercerita keburukan mana-mana pihak, cuma ini gesaan daripada kami ketua-ketua bahagian Bersatu Johor agar kepimpinan negeri ditukarkan.
“Ini demi perpaduan dan imej Bersatu Johor kepada ahli-ahlinya dan penyokong,” katanya menurut Utusan Malaysia dalam satu sidang media di Johor Bahru.
Selain Bersatu Pontian, sidang akhbar tersebut turut dihadiri ketua bahagian Bersatu dari Johor Bahru, Pontian, Tanjung Piai, Pulai, Pengerang, Parit Sulong, Ledang dan Labis.
Isa berkata, perkara itu pernah disuarakan kepada presiden parti Muhyiddin Yassin tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
Beliau berkata, mereka mengambil keputusan untuk bersuara demi kebaikan parti bukannya untuk menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.
“Jika kami hanya fikir menjadi calon dalam pilihan raya, mungkin kami akan berdiam diri. Namun kami memilih bersuara untuk kebaikan parti.
“Kami berharap akan ada transisi kepimpinan negeri sebelum pilihan raya, sekiranya tiada kami akan mengambil tindakan bersesuaian selanjutnya,” katanya.